UMNO mahu rampas kembali kerusi Parlimen Pasir Salak pada PRU16 - Zahid

Amirrul Rabbani
April 29, 2023 18:50 MYT
Ahmad Zahid hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Salak pada Sabtu. - Foto Astro AWANI
PASIR SALAK: UMNO berharap parti itu dapat merampas kembali kerusi Parlimen Pasir Salak dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Sungai Manik dan Kampung Gajah pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana sekiranya wakil rakyat di sesebuah kawasan itu merupakan anggota parti yang menyokong parti kerajaan ia akan memudahkan segala urusan termasuk berkenaan penyaluran bantuan.
Justeru beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengingatkan agar pengundi di kawasan-kawasan berkenaan untuk tidak ‘salah pilih’ pada PRU16 kelak.
“Jadi saya harap dalam PRU16 nanti atau jika ada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Perak nanti, kita mahu rampas kerusi dua DUN dan Parlimen di Pasir Salak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Salak di sini pada Sabtu.
Hadir sama Setiausaha Agung UMNO Nasional, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak merangkap Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad; serta Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun.
Turut hadir wakil-wakil kepimpinan daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) Pakatan Harapan (PH) Perak.
Pada PRU15, kerusi Parlimen Pasir Salak yang menjadi kubu kuat UMNO sebelum ini berjaya dirampas calon Perikatan Nasional (PN) Jamaludin Yahya dengan majoriti 5,003 undi dalam saingan empat penjuru.
Sementara dua kerusi DUN iaitu Sungai Manik dan Kampung Gajah turut dimenangi masing-masing calon daripada PN iaitu Datuk Zainol Fadzi Paharudin serta Zafarulazhan Zan.
Dalam pada itu Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menempelak dakwaan sesetengah pihak dengan menyebut Kerajaan Perpaduan ketika ini tidak berlaku adil kepada negeri yang ditadbir parti pembangkang.
“Ada terdapat tiga kerajaan negeri yang tidak sama dengan (parti kerajaan di) Putrajaya. Tetapi apabila mereka memohon projek, sedangkan tidak memberikan sokongan kepada kepimpinan (Pusat) maka mereka mengatakan perdana menteri zalim, perdana menteri memilih kasih.
“Semasa mengundi kamu bagi ‘sedekah’ banyak sangat buat apa? Akhirnya salah pilih wakil rakyat,” ujarnya.
#Parlimen Pasir salak #Zahid Hamidi #UMNO #PRU16
;