UMNO lemas di kolam cetek kerana hilang upaya, bukan tidak pandai berenang- Annuar

Astro Awani
Januari 14, 2021 18:23 MYT
Annuar berkata, catatan Shamsul Amri itu mencetus pelbagai rekasi dalam kalangan ahli UMNO. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa senada dengan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Ulung Shamsul Amri Baharuddin yang menyifatkan UMNO sebagai sebuah parti yang lemas di kolam yang cetek.
Beliau berkata, catatan Shamsul Amri itu mencetus pelbagai reaksi dalam kalangan ahli UMNO.
"Dalam group Whatsapp pemimpin UMNO, ada yang marah dan in denial, tetapi ramai juga yang berjiwa besar menerima kritikan Pengerusi Majlis Profesor Negara itu.
"Saya mendapati ia benar. Saya merasakan UMNO perlu mendengar, jika tidak UMNO bakal hanyut semakin jauh.
"Masih ramai yang dibuai mimpi lama, ketika rakyat sudah jauh berubah. Masih ramai selesa dalam kepompong lama, sedangkan parti lain telah merekayasa parti mereka masing masing," katanya dalam hantaran Facebooknya di sini, pada Khamis.
BACA: UMNO lemas dalam kolam yang cetek - Shamsul Amri
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) seolah tidak memberi sebarang pengajaran, sebaliknya sebarang teguran dianggap sebagai pembelotan dan perlu disingkirkan.
"Namun saya berasakan belum terlambat untuk membangkitkan kesedaran dalam UMNO. Malah telah ada gelombang kesedaran baharu yang mampu membesar.
"Yang di perlukan adalah keberanian serta keihlasan dalam perjuangan. Ya, lemas di kolam cetek kerana hilang upaya atau terlena di kolam renang, bukan tiada kepandaian berenang. Pulihkan keupayaan,bangunlah dari lena yang panjang," ujarnya lagi.
Terdahulu, dalam ruangan pendapat yang disiarkan oleh Sinar Harian, Shamsul Amri berkata, UMNO diumpamakan ibarat sebuah parti yang lemas di kolam yang cetek, serta masih terkapai-kapai mencari haluan, selepas tewas pada PRU-14.
Beliau memberitahu, kehilangan kuasa, keseluruhan organisasi UMNO mula terungkai dari atas hingga ke bawah, seperti si latah yang disergah menanggal pakaian satu demi satu.
Katanya lagi, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang sekian lamanya diibaratkan jantung dan otak UMNO, tidak berfungsi dengan baik, hingga mengakibatkan parti itu dikuasai pihak-pihak yang berkepentingan peribadi.
#Annuar Musa #Tan Sri Annuar Musa #Barisan Nasional #pilihan raya umum #UMNO #lemas #Zahid Hamidi #Najib Razak #Muhyiddin Yassin #Politik Malaysia
;