'UMNO lebih kuat jika ada ramai pemimpin macam Nur Jazlan' - Khairuddin

Astro Awani
April 22, 2015 18:47 MYT
KHAIRUDDIN: 'UMNO lebih kuat jika ada ramai pemimpin macam Nur Jazlan.' - Gambar fail
UMNO memerlukan lebih ramai pemimpin-pemimpin seperti Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang berani bercakap mengenai kebenaran dan hakikat yang dihadapi parti hari ini.
Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, walaupun Nur Jazlan dilantik menjawat jawatan tertentu, kelantangannya itu dilihat sebagai luahan situasi yang berlaku di dalam parti sekarang.
"Budaya membodek secara membabi buta mesti dibanteras dan dihapuskan di dalam UMNO. Ini amat penting agar tokoh-tokoh pemimpin berkenaan mendapat gambaran yang sebenarnya dari peringkat akar umbi untuk mengetahui secara jelas akan paksi sokongan ahli-ahli kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.
"Pada hemat saya, seandainya kita berani bercakap tentang kebenaran kepada pemimpin di atas, UMNO akan menjadi lebih kuat kerana tidak disogok dengan maklumat yang tidak tepat kepada tokoh-tokoh pemimpin kita," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada Rabu, Nur Jazlan di dalam blognya berkata musuh utama UMNO kini bukan lagi Pakatan Rakyat sebaliknya unsur dalaman parti itu sendiri yang akan menyebabkan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Jelasnya, ahli-ahli UMNO kini berdepan dilema sama ada menyatakan kesetiaan kepada pemimpinnya atau parti.
Tegas Nur Jazlan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini berhadapan dengan satu situasi yang begitu meruncing akibat terpalit berbagai isu melibatkan soal pentadbiran dan pengurusan kewangan negara serta isu berkaitan keluarganya.
BACA: 'Ku Nan jangan jadi pembodek Najib', kata Khairuddin
BACA: Nasib UMNO: Jangan jadi tukang ampu Najib - Khairuddin
Dalam pada itu kata Khairuddin, pemimpin-pemimpin yang berprinsip seperti Nur Jazlan mesti diberikan lebih banyak peranan di dalam UMNO.
"Kini, ahli-ahli UMNO sendiri kagum melihat pemimpin-pemimpin yang ikhlas di dalam perjuangan.
"Pemimpin-pemimpin yang ikhlas di dalam perjuangan adalah di kalangan yang berani bercakap 'without fear and favour' demi jaminan tokoh pemimpin atasan mendapat gambaran yang sebenarnya agar boleh bertindak selaras dengan matlumat tepat tanpa unsur-unsur yang dimanipulasikan serta kurang tepat.
"Maklumat tepat di dalam parti amat penting untuk menjamin UMNO terus relevan ke akhir hayat dan popular di kalangan rakyat," ujarnya.
BACA: 'Saya bukan budak suruhan Tun M' - Khairuddin
Sebelum ini, Khairuddin dilaporkan berkata, mana-mana pihak diminta tidak mempertikai hubungan baiknya dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kebelakangan ini dilihat semakin lantang mengkritik Najib.
#bodek #kelantangan #Khairuddin #najib #Nur Jazlan #TUN DR MAHATHIR #UMNO
;