UMNO kuat kerana setiakawan pemimpin, sokongan rakyat - Syed Ali
Astro Awani
Jun 14, 2017 22:38 MYT
Jun 14, 2017 22:38 MYT
Kekuatan UMNO selama ini terletak kepada semangat setiakawan dan kerjasama erat di kalangan pemimpin di samping sokongan kukuh ahli-ahlinya.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, tanpa elemen tersebut UMNO dikhuatiri akan menjadi lemah dan tidak berdaya saing untuk menghadapi tentangan daripada gabungan pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
"Selain berdepan dengan asakan pembangkang, UMNO juga tidak dapat lari daripada diserang oleh pihak berkepentingan termasuk yang mempunyai rangakaian di luar negara.
"Semuanya ingin menjatuhkan UMNO kerana mereka berpendapat selagi parti kuat, selagi itulah mereka tidak dapat menghancurkan kesatuan orang Melayu dan sukar untuk mereka menguasai negara ini," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Beliau menegaskan, pembangkang dan pihak berkepentingan sememangnya mahu melihat perpaduan dan kesatuan orang Melayu dan umat Islam di negara bertelagah dan saling berselisih faham walaupun hanya membabitkan perkara yang tidak munasabah.
"Justeru, sebarang kekeruhan atau pertelagahan pendapat sewajarnya dielakkan dan perlu diselesaikan secara musyawarah tanpa melibatkan kepentingan peribadi atau puak tertentu.
"UMNO merupakan parti terbesar yang mewakili majoriti orang Melayu dan umat Islam di Malaysia selain cukup berpengalaman serta matang sejajar dengan usianya melebihi 71 tahun.
"Dengan kematangan tersebut, UMNO sehingga ke hari ini dihormati dan menjadi sandaran kepada orang Melayu untuk terus menerajui tampuk kuasa menerusi gagasan Barisan Nasional (BN)," ujarnya.
Menurutnya, pemimpin UMNO dan rakan sekutu politknya dalam piagam BN seeloknya menjadikan perundingan sebagai kaedah terbaik untuk menyelesaikan apa juga masalah berbangkit atau salah faham tanpa diheret dengan sebarang sentimen.
"Tetapi sungguh mendukacitakan apabila masih ada sebilangan kecil daripada pemimpin parti yang terjebak dengan pertelagahan pendapat hanya disebabkan beberapa isu kecil yang sepatutnya diselesaikan secara berhemah," tegasnya.
Menerusi BN tambah beliau, semua pemimpin yang mewakili pelbagai parti politik perlu mempunyai sikap menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza prinsip politik kerana kekuatan BN menjadi teras kepada kestabilan negara.
"Kita selalu mengingatkan generasi muda supaya mempertahankan keluhuran budi pekerti dan menghormati antara satu sama lain sebagai sebahagian budaya rakyat negara ini, tetapi kadangkala pemimpin sendiri tidak menunjukkan contoh yang boleh diteladani," ujarnya.
Pembangkang tambah Syed Ali, akan mempolitikkan situasi sedemikian dengan menularkannya menerusi laman-laman sosial untuk memberitahu rakyat betapa 'buruknya' perangai pemimpin UMNO dan BN.
"Ini yang sepatutnya kita kena fikirkan bersama, ini yang perlu kita berikan keutamaan kerana UMNO dan BN akan berdepan dengan PRU ke-14, jangan anggap isu kecil sebegitu tidak boleh mempengaruhi sikap dan tahap sokongan pengundi.
"Media sosial kini menjadi medium terpantas untuk melaporkan apa sahaja perkembangan dan isu yang berlaku membabitkan pemimpin politik terutama UMNO dan BN.
"Pihak berkepentingan dan blok pembangkang akan melakukan serangan politk secara bertali arus terhadap UMNO dalam usaha mereka menghancurkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan sekali gus menawan Putrajaya," katanya.
Hakikatnya kata beliau, rakyat lebih mudah mendapat maklumat dan mempercayai laporan termasuk fitnah yang ditular menerusi media sosial berbanding laporan akhbar arus perdana dan konvensional.
Tambah beliau, PRU ke-14 merupakan antara pilihan raya yang paling getir bakal dihadapi oleh UMNO dan BN selain memerlukan semua pihak untuk bersiap siaga menentang ancaman blok pembangkang.
"UMNO tidak boleh berbangga dengan kekuatan yang ada, kita perlu sentiasa berwaspada dan berusaha memantapkan jentera pilihan raya kerana persekitaran politik yang berlaku mampu memberikan pelbagai kemungkinan," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mahu UMNO sentiasa menyantuni rakyat terutama di peringkat akar umbi dengan kerap turun padang secara lebih tersusun dan tidak dilakukan hanya disebabkan bahang PRU yang semakin hampir.
Bagaimanapun Syed Ali melahirkan keyakinan pentadbiran Datuk Seri Najib yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN akan mampu meraih kemenangan yang lebih cemerlang pada PRU akan datang.
Katanya, berdasarkan kepada indek sokongan semasa rakyat terhadap UMNO, ianya menunjukkan perkembangan yang amat positif terutama peningkatan sokongan anak-anak muda.
"Ianya satu perkembangan positif sokongan rakyat terhadap UMNO, ini berlaku kerana rakyat mula mencurigai keberkesanan parti-parti pembangkang dalam Pakatan Harapan.
"Saya yakin UMNO berada di tahap terbaik dan akan terus kekal pada PRU ke-14," tegasnya.