UMNO Kota Kinabalu pilih Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO

Fifi Harteeny Marzuki
Jun 30, 2018 18:54 MYT
Bahrin turut menyatakan bahawa pemilihan suara para pewakilan UMNO adalah dibuat berdasarkan debat antara presiden yang disiarkan oleh Astro AWANI malam tadi. - Foto Astro AWANI/Ruzaini Zulkepli
Para perwakilan UMNO Kota Kinabalu sebulat suara memilih Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO pada pemilihan parti itu, hari ini.
Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kota Kinabalu, Bahrin Abdul Karim berkata pemilihan itu adalah untuk memastikan kepimpinan UMNO di bawah Ahmad Zahid kekal relevan bagi menggembalikan kegemilangan parti keramat Melayu tersebut.
"Untuk kali ini rata-rata ahli UMNO Kota Kinabalu dan perwakilan telah menunjukkan untuk memilih calon Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden UMNO.
"Ini berikutan kebanyakan mereka mahu kepimpinan itu terus relevan di masa akan datang dan berharap agar beliau (Ahmad Zahid) dapat mengembalikan kepercayaan dan sokongan padu rakyat terhadap parti ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui AWANI dalam Mesyuarat Pewakilan UMNO Bahagian Kota Kinabalu di Pusat Dagangan Sabah, Likas, pada sabtu.
Dalam pada itu, Bahrin turut menyatakan bahawa pemilihan suara para pewakilan UMNO adalah dibuat berdasarkan debat antara presiden yang disiarkan oleh Astro AWANI malam tadi.
Bahrin turut menyatakan, pemilihan kali ini jelas mengaplikasikan sistem demokrasi yang mana perwakilan diberikan kebebasan untuk memilih calon tanpa ada sekatan atau halangan tertentu.
"Dalam pemilihan kali ini jelas demokrasi diwujudkan dan kita buka kepada perwakilan untuk memilih dan menilai sendiri pemimpin itu melalui debat semalam," katanya.
#Ahmad Zahid Hamidi #Bahrin Abdul Karim #Kota Kinabalu #Naib Presiden UMNO #UMNO #Zahid Hamidi
;