UMNO Ketereh lulus usul sokong PM Ismail Sabri hingga 2023
Bernama
Disember 17, 2021 18:39 MYT
Disember 17, 2021 18:39 MYT
KOTA BHARU: Mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Ketereh meluluskan sebulat suara usul menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga tamat tempoh penggal ke-14 Parlimen pada 2023.
Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Ketereh Mat Riffin Said membacakan usul itu selepas ia diluluskan pada mesyuarat perwakilan UMNO bahagian itu, yang dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh.
"(Kami) menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri untuk memulihkan kembali negara dari aspek ekonomi, keselamatan rakyat, politik dan sosial, " katanya selepas usul itu disokong kira-kira 300 orang perwakilan yang menghadiri mesyuarat itu di Yayasan Kemiskinan Kelantan, Padang Kala hari ini.
Beliau berkata usul itu antara lain berbunyi: "Menyarankan semua pemimpin dan ahli UMNO memberi tumpuan dalam usaha memperkasakan dan mengukuhkan parti, merapatkan saf dan meningkatkan perpaduan sesama ahli serta bersungguh-sungguh memenangi hati rakyat dan pengundi.
"Selain itu, UMNO perlu kembali memainkan peranan utama sebagai parti yang memimpin penyatuan dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera serta kembali memainkan peranan sebagai parti politik yang menyatukan dan mengharmonikan rakyat di negara ini," katanya.
--BERNAMA