'UMNO kena pamerkan pemimpin yang rakyat suka' - Khairy

Haider Yutim
September 29, 2018 00:59 MYT
KHAIRY: Kita kena pamerkan pemimpin-pemimpin yang rakyat suka. - Foto Astro AWANI
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin hari ini berkata, UMNO telah dirosakkan oleh beberapa pemimpin parti itu sendiri dan kini harus tampilkan pemimpin yang disukai rakyat bagi meraih kembali kepercayaan.
Bekas ketua pemuda UMNO itu berpendapat, jika UMNO masih mengetengahkan pemimpin yang tidak mendapat sokongan serta kepercayaan rakyat, parti itu tidak akan pulih.
"Kita kena pamerkan pemimpin-pemimpin yang rakyat suka... itu pokok pangkalnya.
"Macam mana kita ada hala tuju pun, kalau kita masih menghidangkan pemimpin yang tidak dapat sokongan dan kepercayaan daripada rakyat, UMNO tidak dapat pulih," katanya dalam satu temubual khas Analisis AWANI, di Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini.
Khairy mengulas mengenai hala tuju UMNO yang telah diumumkan oleh presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2018.
Menurut Khairy, beliau percaya ramai orang Melayu sebenarnya tidak benci pada UMNO, dan sebaliknya masih kenang dengan jasa parti itu.
Namun, katanya UMNO telah dirosakkan oleh beberapa pemimpin yang ada atau telah ada dalam parti tersebut.
"Sebab itu kalau tak ada perubahan menyeluruh dari orang dalam UMNO itu sendiri, maka perubahan-perubahan ini tidak akan memberi kesan.
"Dan rakyat juga mahu lihat perubahan dari segi pemikiran," katanya.
BACA: UMNO tidak akan ikut jalan belakang untuk kembali memerintah
BACA: UMNO ambil tindakan undang-undang wakil rakyat keluar parti
Katanya, tidak perubahan dari segi generasi jika generasi yang menggantikan pemimpin-pemimpin lama ini masih memegang pemikiran serta budaya yang sama.
"Tak guna kita ada perubahan generasi, tetapi generasi yang ganti mereka, pegang pada pemkiran budaya sama, cara sama, berlagak macam biasa.
Kalau itu berterusan, maka tidak ada perubahan," jelasnya.
Selain itu, katanya kepercayaan rakyat terhadap UMNO turut bergantung kepada siasatan yang sedang dijalankan terhadap beberapa pemimpin parti itu termasuk bekas presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak.
#Ahli Parlimen Rembau #analisis awani #Khairy Jamaluddin #pemimpin #Perhimpunan Agung UMNO #rakyat #UMNO
;