UMNO kena ambil pusing perkembangan parti baharu - Razali

Rahimah Abdullah
Ogos 8, 2016 08:24 MYT
Menurut Razali, kewujudan parti baharu itu memberi semangat kepada anggota UMNO untuk bekerja lebih kuat memenangi hati rakyat. - Gambar fail
UMNO kena ambil peduli dan memerhatikan perkembangan parti politik baharu yang bakal diterajui bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ujar Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim.
Pada masa sama beliau melihat kewujudan parti baharu itu akan memberi semangat kepada anggota UMNO untuk bekerja lebih kuat memenangi hati rakyat.
"Kalau kita tidak ambil pusing kita tidak akan ada semangat. Benda ini boleh bertukar kepada semangat untuk saya bekerja dengan lebih kuat dan saya akan ajak lebih ramai lagi untuk terus bersemangat sebab kita ada lawan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penutup Sekretariat Pencegahan Rasuah (SPR) kali ke-6 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.
BACA: Jangan ambil mudah parti baharu Tun Mahathir, kata Khairy
Beliau juga yakin anggota UMNO akan terus setia kepada parti terutama mereka yang sentiasa memperjuangkan matlamat sebenar parti.
"Saya penuh yakin dengan ahli UMNO yang dulu-dulu sebab dia tidak pernah ada jawatan, kedudukan, dan kalau hendak kira, tidak semua kaya ahli UMNO ini. Yang kaya itu sebab berniaga, yang lain itu semua sokong kuat. Merekalah yang jaga parti," tambahnya.
Beliau memberi contoh ada ahli parti veteran yang tidak pernah gagal untuk menghadiri mesyuarat walaupun sudah lanjut usia.
"Mereka ini ahli yang mahu tengok UMNO dalam keadaan kuat. Mesyuarat mereka datang ramai-ramai walaupun lanjut usia, saya rasa tersentuh sebab saya pun tidak tahu kalau saya umur macam itu saya akan datang ke mesyuarat atau tidak," kata beliau lagi.
Ditanya sama UMNO perlu risau dengan kewujudan parti baharu, ini jawapan beliau:
"Kalau kita nak rasa risau, kita tidak boleh jangka. Ketakutan ini wujud satu sebab gelap dan tidak nampak, kita tidak boleh hendak jangka apa nak berlaku. Jadi dalam kes ini saya rasa perlu kita bersedia."
Tambahnya, penubuhan parti baharu adalah seperti satu trend yang biasanya diterajui oleh serpihan daripada parti-parti sedia ada.
"Sebelum ini begitu juga, tubuh parti baharu dan diketuai oleh serpihan, PAN pun sama, PKR pun sama. It is like a trend, bukan satu parti baharu yang tiba-tiba wujud dan diketuai oleh orang yang kita tidak kenal. Mereka adalah bekas atau serpihan parti sedia ada seperti Parti Negara, 46, to me its ok," ujar beliau.
Justeru katanya, apa yang penting adalah UMNO melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi pembangunan parti dan rakyat.
Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, beliau akan membuat permohonan untuk mendaftarkan sebuah parti politik baharu dalam masa terdekat.
Dalam catatan di laman Facebook, bekas Timbalan Presiden UMNO itu berkata ia hasil mesyuarat yang diadakan di kediaman bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
#Muhyiddin Yassin #parti baharu #Razali Ibrahim #Tun Mahathir #UIAM #UMNO