UMNO Kelantan perlu beri peluang kepada pelapis muda

Bernama
Jun 8, 2024 19:52 MYT
Johari (dua, kiri) bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (dua, kanan) menyempurnakan gimik perasmian Konvensyen Barisan Nasional Kelantan 2024, hari ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU: UMNO Kelantan perlu memberi peluang dan melahirkan lebih ramai golongan pelapis muda untuk menerajui Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya yang akan datang.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata namun mereka ini perlu bergabung dengan veteran-veteran UMNO berpengalaman yang hebat.
Beliau berkata golongan berkenaan perlu dibimbing dan dikenal pasti daripada awal lagi supaya tidak terlambat serta mendedahkan mereka dengan hala tuju parti ini.
"Janganlah lagi sebulan apabila Parlimen baru hendak dibubar, pada masa itu baru kita terhegeh-hegeh hendak cari pemimpin muda (bertanding untuk pencalonan).
"Pemimpin muda ini, kita kena beri masa kepada mereka untuk rakyat kenal dan turun padang, berjasa kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen BN Kelantan 2024 di sini hari ini.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata sekiranya pemimpin muda tidak didedahkan kepada rakyat, maka apabila tiba pilihan raya, rakyat tidak kenal dan mengetahui jasa mereka kepada negara.
"Saya tekankan bahawa dulu sebelum kita mencapai kemerdekaan, pejuang-pejuang UMNO terdahulu berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dan apabila kemerdekaan telah dicapai, mereka memberi pemimpin-pemimpin yang memiliki latar belakang yang hebat untuk memerintah negara.
"Tapi kini, kita sudah kehilangan 'kuasa' dan kalah dalam lapan penggal pilihan raya di Kelantan. Oleh itu, kita kena berubah dan main peranan bersama-sama dengan kerajaan dan melahirkan pemimpin yang boleh membawa aspirasi dan politik yang akan datang," katanya.
Sementara itu BN akan membantu calon parti rakan kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Johari berkata sebagai contoh, PRK sebelum ini iaitu PRK DUN Kuala Kubu Bharu, BN turun membantu calon yang bertanding iaitu daripada DAP dalam Pakatan Harapan.
Turut hadir pada konvensyen itu adalah Pengerusi BN Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Konvensyen BN berkenaan diadakan selama satu hari bermula pada 8.45 pagi dan berakhir pada 5 petang ini.
-- BERNAMA
#UMNO Kelantan #JOHARI ABDUL GHANI #pelapis muda #Barisan Nasional #Kerajaan Perpaduan
;