UMNO Kelantan perlu berani ketengah pemimpin muda - ADUN Galas
Muhafandi Muhamad
Mei 28, 2022 08:30 MYT
Mei 28, 2022 08:30 MYT
GUA MUSANG: Barisan Nasional Kelantan perlu berani mengetengahkan pemimpin muda serta memberi peluang golongan pelapis untuk memimpin parti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, ramai pemimpin muda atau muka baharu berpotensi untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, pemimpin muda dan muka baharu dilihat lebih bersemangat untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat dan memajukan negeri Kelantan dengan idea yang bernas.
"Tidak kira pemimpin parti atau belia, kalau bercakap soal ingin memajukan negeri, maka wajar kita ketengahkan suara dan individu seumpama ini.
"Kita telah melihat beberapa contoh, PRU Johor dan MUDA, kita boleh lihat keputusannya memihak kepada UMNO dan BN.
"Jadi bagi saya UMNO Kelantan perlu berani mengetengahkan pemimpin muka baharu seperti yang dibuat oleh Tengku Razaleigh Hamzah di Gua Musang dan hasilnya kita boleh lihat bagaimana rakyat menerimanya.
"Cumanya bersediakah pemimpin UMNO sedia ada negeri Kelantan memberi muka baharu menerajui kepimpinan ini," kata Mohd Syahbuddin.
Beliau turut berpendapat UMNO perlu menjadi juara rakyat dengan menerajui isu-isu berkenaan kebajikan, pendidikan dan ekonomi.
Katanya, dia menyokong segala isu atau masalah yang dibawa untuk membantu rakyat walaupun di bawah badan bukan kerajaan (NGO) asalkan tidak ada agenda politik.
Sebelum ini, sekretariat Save Kelantan yang dikepalai bekas exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa kerap membangkitkan permasalahan rakyat, antaranya melibatkan isu air, pembalakan dan peluang pekerjaan anak muda Kelantan.
Sebaliknya, UMNO Kelantan dilihat kurang menyerlah dalam memperjuangkan isu-isu yang dihadapi rakyat Kelantan.
Mengulas lanjut, Mohd Syahbuddin berpandangan pemimpin bahagian dan negeri perlu menyambut dan menyambung isu yang berkisar soal rakyat dengan tidak membiarkan sesetengah pemimpin berseorangan memainkan isu atau perkara berkaitan rakyat.
Dukungan atau support system daripada pimpinan semua peringkat diperlukan supaya isu membabitkan kepentingan rakyat, seperti masalah air, jalinan jalan raya, soal pekerjaan dan membasmi kemiskinan sentiasa diketengahkan kepada kerajaan negeri dengan mengharapkan tindakan dilaksanakan secara tuntas, katanya lagi.