UMNO Kelantan perkemas jentera pilihan raya untuk tawan negeri pada PRU-14

Bernama
Mac 4, 2017 09:18 MYT
MUSTAPA: Badan Perhubungan UMNO Kelantan sedang memperkemaskan jentera pilihan rayanya bagi merampas Kelantan daripada PAS pada PRU-14. - Gambar fail
Badan Perhubungan UMNO Kelantan sedang memperkemaskan jentera pilihan rayanya bagi merampas Kelantan daripada PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata UMNO Kelantan kini meletakkan jentera pilihan rayanya dalam 'mood pilihan raya' untuk memastikan semua persiapan dalam tahap terbaik.
"Jentera pilihan raya di semua 534 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di negeri ini sedang dimantapkan. Kita dapati semangat mereka semakin meningkat untuk Barisan Nasional menang dan kembali memerintah Kelantan pada PRU-14 ini," katanya.
BACA: BN mampu rampas Kelantan satu kenyataan lucu - Ahmad Yakob
BACA: PAS Kelantan waspada khabar pakatan UMNO dan Amanah
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis perjumpaan pemimpin kanan PDM seluruh Kelantan di sini, hari ini.
Mustapa berkata UMNO Kelantan turut memperhebatkan program bertemu dengan rakyat di semua peringkat termasuk melalui ceramah dan dialog.
"Kita juga sedang meningkatkan program untuk mendampingi anak-anak muda termasuk mereka yang berada di luar Kelantan, kita mengatur aktiviti mengikut kehendak atau selera anak muda," katanya.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Mustapa Mohamed #PDM #PRU-14 #UMNO