UMNO Kelantan letak calon di kerusi tradisi miliknya - Ahmad Jazlan

Vivi Sumanti
Oktober 2, 2022 05:15 MYT
Ahmad Jazlan berkata, UMNO Kelantan akan meletakkan calonnya di semua kerusi DUN dan Parlimen Kelantan. - Gambar fail
MACHANG: Badan Perhubungan UMNO Kelantan akan meletakkan calon-calon mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi tradisi miliknya, sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, UMNO Kelantan tidak akan berkompromi di kerusi yang menjadi tradisi ditandinginya.
"Ia termasuklah kerusi Parlimen Jeli dan Tanah Merah yang diwakili secara tradisi oleh UMNO. UMNO Kelantan tidak akan berkompromi soal ini. Ia muktamad," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.
Ahmad Jazlan berkata, UMNO Kelantan akan meletakkan calonnya di semua kerusi DUN dan Parlimen Kelantan.
Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, UMNO, kata Ahli Parlimen Machang itu, menyasarkan kemenangan di 35 kerusi DUN dan 9 kerusi Parlimen.
Beliau turut memaklumkan, UMNO Kelantan tetap dengan pendirian bergerak secara solo tanpa ada gabungan dengan mana-mana parti selain komponen BN, untuk menentang Pas atau Pakatan Harapan serta Gerakan Tanah Air di Kelantan.
"Saya ulangi, iaitu UMNO Kelantan bergerak secara solo pada PRU15. Kita ambil sikap sederhana dengan melihat kepentingan rakyat dan agenda untuk rakyat.
"Kalau ada arahan parti atau pucuk pimpinan yang mahukan gabungan, ia akan dibincangkan kemudian. Namun, setakat ini, UMNO tetap pendirian bergerak solo, menentang parti lawan tanpa gabungan atau kerjasama dengan mana-mana parti lain," katanya.
Sementara itu, Ahmad Jazlan berkata, UMNO Kelantan masih meneruskan pemutihan ahlinya melalui Jawatankuasa Khas Salah Laku yang menjalankan siasatan mengenal pasti ahli yang mengkhianati parti.
"Bulan lepas kita pecat keahlian bekas Timbalan Ketua Bahagian Tanah Merah kerana mengkhianati parti.
"Proses pemutihan ahli masih diteruskan dan akan ada lagi mereka yang mengkhianati parti akan dipecat keahliannya," jelas beliau.
#PRU15 #UMNO #Ahmad Jazlan Yaakob #kerusi tradisi
;