UMNO Kelantan harap momentum kemenangan di PRN Melaka berterusan
Muhafandi Muhamad
November 21, 2021 21:50 MYT
November 21, 2021 21:50 MYT
KOTA BHARU: Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengharapkan momentum kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berterusan sehingga ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata penerimaan rakyat Melaka dengan memberikan mandat buat Barisan Nasional (BN) disebabkan rekod pencapaian kerajaan BN terdahulu.
"Melihat kepada 'track record' kerajaan BN yang lepas, Barisan Nasional adalah sebuah parti yang sentiasa membawa suara rakyat dan juga telah menunjukkan prestasi urus tadbir negeri yang baik selain berjaya memakmurkan negeri Melaka berdekad-dekad lamanya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ahmad Jazlan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, mengambil iktibar daripada keputusan PRU14, UMNO tidak menyalahkan rakyat yang terpedaya dengan janji kosong oleh Pakatan Harapan (PH) pada waktu itu.
"Bagaimanapun rakyat yang menyedari janji manis itu hanyalah satu umpan untuk memancing undi dan menarik sokongan membuktikan Pakatan Harapan gagal melaksanakan janji manifesto mereka sehingga tempiasnya dizahirkan pada PRN Melaka," katanya lagi.
UMNO Kelantan turut tidak ketinggalan terbabit dalam membantu jentera PRN Melaka di DUN Rembia dan DUN Machap Jaya.
Ahmad Jazlan menambah, UMNO Kelantan akan terus mendokong institusi presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bergerak sebagai sebuah pasukan bagi menghadapi PRU15.
#UMNO Kelantan
#PRN Melaka
#Ahmad Jazlan Yaakob
#Melaka Memilih
#momentum kemenangan
#pilihan raya
#PRU
#Barisan Nasional