UMNO Kelantan beri kebebasan anggotanya di DUN Chempaka mengundi esok

Muhafandi Muhamad
Mac 21, 2015 22:56 MYT
UMNO Kelantan memberi kebebasan kepada anggotanya yang menjadi pengundi untuk mengundi mana-mana calon pada PRK DUN Chempaka esok.
Pengundi UMNO di DUN Chempaka diminta menunaikan tanggungjawab mereka walaupun tiada calon Barisan Nasional bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tiada sebarang syarat ditetapkan kepada pengundi UMNO dan mereka bebas membuat pilihan sendiri.
Menurutnya, langkah itu diambil bagi menyemarakkan proses demokrasi selepas mengambil kira tanggungjawab yang perlu ditunaikan para pengundi.
"Kita nasihatkan supaya penyokong UMNO di Chempaka keluar mengundi esok dan pilih; kita bagi kebebasan, kita tak masuk campur sedikit pun.
"Setiap ahli ada hak dan mereka berhak memilih. Kita bagi kebebasan tak ada panduan," kata Mustapa.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO di Kota Bharu.
UMNO dan Barisan Nasional Kelantan tidak meletakkan calon dalam PRK DUN Chempaka bagi memberi tumpuan kepada pemulihan pasca banjir.
Dianggarkan terdapat 6,000 pengundi Barisan Nasional di kawasan berkenaan.
#calon #DUN Chempaka #Mustapa Mohamed #pasca banjir #pengundi #UMNO Kelantan
;