UMNO kekal junjung titah Agong, beriltizam jaga kebajikan rakyat
Hasimi Muhamad
Oktober 29, 2020 01:01 MYT
Oktober 29, 2020 01:01 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO sekali lagi mengulangi pendirian bahawa parti Melayu itu dengan jelas menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk memastikan pentadbiran negara diurus dengan baik berpandukan Perlembagaan negara.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian tersebut termasuk memastikan negara tidak diisytiharkan darurat sebagaimana yang dicadangkan oleh kerajaan.
“UMNO terus kekal fokus dan konsisten dengan kenyataan yang sudah berkali-kali dikeluarkan tentang peri pentingnya gencatan politik dan Rekonsiliasi Nasional demi mendepani wabak COVID-19.
“Selain itu, untuk menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik,” demikian katanya dalam satu kenyataan, awal pagi Jumaat.
Terdahulu, mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang diadakan di Menara Dato Onn selesai selepas empat jam bermesyuarat.
Dalam kenyataan sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, UMNO adalah sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa memberi keutamaan kepada agenda rakyat.
“Maka, semua anggota Kabinet yang mewakili UMNO terus kekal dalam kerajaan dan beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti,” katanya lagi.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata Mesyuarat MT pada malam Khamis turut memperhalusi cadangan termasuk berhubung isu pelanjutan tempoh moratorium.
“Selain itu bantuan kepada rakyat yang hilang punca pendapatan akibat COVID-19, bantuan belia yang menganggur, bayaran khas kepada petugas barisan hadapan dan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pengembangan ekonomi negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata UMNO akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat kepada rakyat dapat diluluskan.
#Majlis Tertinggi UMNO
#MT UMNO
#Mesyuarat Khas
#Menara Dato Onn
#Ahmad Zahid Hamidi
#Timbalan Perdana Menteri
#COVID-19
#titah Yang di-Pertuan Agong
#Majlis Raja-Raja
#darurat