UMNO Kedah sokong Ismail Sabri sebagai PM hingga tamat penggal

Abd Hadi Che Awang
Disember 18, 2021 13:49 MYT
Jamil Khir Baharom berkata, ketetapan itu dibuat bagi memberi ruang kepada Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO untuk memulihkan kembali negara dari aspek ekonomi, keselamatan rakyat, politik dan sosial. - Gambar Astro AWANI
GUAR CEMPEDAK: UMNO Kedah membuat ketetapan untuk menyokong penuh kepimpinan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia sehingga tamat tempoh penggal ke-14 Parlimen pada tahun 2023.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ketetapan itu dibuat bagi memberi ruang kepada Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO untuk memulihkan kembali negara dari aspek ekonomi, keselamatan rakyat, politik dan sosial.
Tambah beliau, Aspirasi 100 Hari yang direncanakan pemimpin itu juga telah menunjukkan kejayaan selain konsep Keluarga Malaysia diterima baik oleh masyarakat majmuk di negara ini.
"(Kepimpinan Ismail Sabri ini) semacam satu isyarat yang tidak dinyatakan dalam (mana-mana) mesyuarat ataupun konsensus yang tidak diceritakan… (sebenarnya) ramai orang, apabila naik (sahaja) Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri keadaan macam reda tenang.
“Kita melihat 100 hari (pertama) dirakamkan pelbagai kejayaan terutama melandaikan kelok COVID-19 dan sektor ekonomi yang dibuka untuk dipergiatkan.
"Jadi saya nampak seolah-olah masyarakat memberikan pengiktirafan supaya UMNO adalah parti yang diharapkan untuk memimpin dan mengetuai Malaysia," kata beliau lagi.
Jamil berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerai di Dewan Serbaguna Guar Cempedak di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia menggesa, Ismail Sabri perlu diberi ruang sehingga tamat penggal pada 2023 untuk terus menerajui pentadbiran negara.
Pengerusinya, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman, menyifatkan keperluan itu berlandaskan faktor Ahli Parlimen Bera itu mencapai beberapa kejayaan awal dalam tempoh 100 hari selepas mula memegang jawatan itu pada 21 Ogos lalu.
#UMNO Kedah #ismail sabri yaakob #Perdana Menteri #Jamil Khir Baharom
;