UMNO Kalabakan sudah hantar senarai calon PRU15
Petrus Bernard
Julai 6, 2022 14:49 MYT
Julai 6, 2022 14:49 MYT
TAWAU: UMNO Kalabakan mengesahkan sudah menghantar senarai nama calon untuk dipilih oleh pucuk pimpinan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Ketuanya, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata pihaknya sudah menyenaraikan dan menghantar beberapa nama untuk calon kerusi Parlimen Kalabakan.
“Kita sudah teliti beberapa nama yang diyakini boleh menang dan dapat menambat hati rakyat pada PRU akan datang.
“Saya yakin pucuk pimpinan di peringkat negeri dan pusat akan menilai senarai calon tersebut berdasarkan prestasi serta kebolehan mereka,” katanya.
Suryady yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu menambah walaupun tarikh PRU masih belum pasti, tetapi UMNO Kalabakan sudah lama bersiap sedia dengan kerja-kerja turun padang.
“Kita juga sudah diarah untuk lebih bersiap sedia dari segi jentera di peringkat bahagian dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) minggu lalu.
“Selain itu, kita juga sudah mengadakan kursus dan memberi makluman awal kepada seluruh jentera parti supaya sentiasa bersiap sedia,” ujarnya.