UMNO kaji semula kerjasama dengan parti politik Korea Utara - Ku Nan

Bernama
Mac 3, 2017 17:04 MYT
KU NAN: UMNO akan mengkaji semula kerjasama yang dijalinkan dengan WPK, ekoran kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong-nam di Malaysia. - Gambar fail
UMNO akan mengkaji semula kerjasama yang dijalinkan dengan parti politik Korea Utara, Workers Party of North Korea (WPK), rentetan perkembangan hubungan dua hala ekoran kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong-nam di Malaysia.
Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perkara ini akan dibawa ke Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam masa terdekat untuk dibincangkan mengenai jalinan kerjasama itu.
"Kami akan kaji semula kerjasama itu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan bangunan tambahan Surau dan Ihtifal Thanawi di Surau Al-Iman, Presint 9 di sini hari ini.
Tengku Adnan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status memorandum persefahaman UMNO dan WPK yang ditandangani pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 ekoran kes pembunuhan Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga meminta Kementerian Luar mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Korea Utara susulan kenyataan biadap dikeluarkan oleh Duta Besar Korea Utara di Malaysia, Kang Chol berhubung kes pembunuhan Jong-nam.
Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb bagi menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri dua wanita yang dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun.
Jong-nam, yang menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor #KLIA2 #MT #UMNO #WPK
;