UMNO juga tidak puas hati persempadanan semula SPR - Noh Omar
Anthea Yap
September 19, 2016 19:34 MYT
September 19, 2016 19:34 MYT
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar membidas sikap pembangkang yang dikatakan tidak memahami proses persempadanan semula kawasan pilihan raya sebaliknya pantas menyalahkan kerajaan susulan perkara itu.
Jelasnya, usul persempadanan semula seperti dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menyebabkan UMNO tidak berpuas hati kerana dilihat boleh mengurangkan jumlah pengundi Melayu.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata sebelum ini terdapat beberapa kawasan majoriti pengundi Melayu yang tinggi di negeri itu.
Dengan persempadanan baharu, beliau berkata UMNO dijangka tidak mampu mempertahankan kesemua tiga kerusi di Ampang, Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa di Selangor.
"UMNO juga tidak berpuas hati, saya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO juga mendapati kawasan yang sebelum ini majoriti Melayu tinggi tetapi hari ini terdapat tempat di Ampang kalau dahulu, satu kerusi Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa), ketiga-tiga UMNO bertanding.
"Tapi dengan persempadanan baharu ini, saya rasa UMNO mungkin tidak dapat tiga kerusi itu di Ampang. Kalau ikut hati itu, memang tidak berpuas hati, jadi terangkan kepada saya bila pula pembangkang akan puas hati?" katanya ketika sidang media majlis penyampaian watikah perlantikan Presiden Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah dan Tribunal Pengurusan Strata di Kementeriannya di sini hari ini.
Sebelum ini, penasihat DAP Lim Kit Siang mendesak Selangor mengadakan pilihan raya awal susulan cadangan persempadanan semula didakwa sengaja mengubah peta negeri itu.
Pada Ahad, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata UMNO akan meneliti usul itu dan dibincangkan di Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 30 September ini.