UMNO Johor sandarkan Bastien jadi calon Naib Ketua Pemuda

Astro Awani
Jun 3, 2018 07:53 MYT
Perjumpaan ketua-ketua Pemuda UMNO Johor pada Ahad mencalonkan Bastien Onn sebagai calon Naib Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan akan datang. - Gambar fail
UMNO Johor ingin terlibat secara langsung dalam proses pemulihan parti yang mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor, Helmi Buang berkata, pemilihan parti kali ini merupakan ruang dan pentas terbaik untuk proses tersebut yang akan melibatkan kesemua ahli.
"Proses mengembalikan UMNO sebagai sebuah parti yang menjadi pilihan rakyat bermula dengan pemilihan parti melibatkan semua sayap-sayap parti yang akan bersidang di bahagian-bahagian seluruh Malaysia pada 23 Jun.
"Johor sebagai negeri kelahiran UMNO mencalonkan Ketua Pemuda UMNO Segamat, Bastien Onn, selaku calon yang ditawarkan ke peringkat pusat bagi kedudukan Naib Ketua Pemuda UMNO.
"Ia diputuskan semasa pertemuan Ketua-ketua Pemuda UMNO Johor dengan Pengerusi perhubungan Negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, diketuai Ketua Pemuda Johor, Hahasrin Hashim," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
BACA: Banyakkan calon bertanding di peringkat tertinggi UMNO - Penganalisis
BACA: Surat terbuka Syed Saddiq kepada KJ
Sebelum ini, penganalisis politik Universiti Malaya, Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kehadiran lebih ramai calon akan mewujudkan pertandingan lebih demokrasi di peringkat tertinggi kepimpinan UMNO kali ini.
Jelasnya, ia sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada akar umbi untuk memilih wakil terbaik bagi mengemudi parti sebagai pembangkang terbaik.
Dalam pada itu, menurut Helmi, Bastien merupakan calon terbaik yang Pemuda UMNO ingin tawarkan dari negeri Johor.
"Setelah meneliti iklim dan keperluan politik semasa, kami merasakan keperluan untuk melibatkan diri dalam proses membentuk dasar-dasar UMNO bagi menyiapkan parti dalam tiga tahun mendatang.
"Saya percaya ia penerimaan baik untuk ahli UMNO sama-sama bergerak ke arah penyediaan pemimpin pembangkang yang terbaik," ujarnya.
Pertemuan tersebut juga disertai Ketua Pembangkang Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Perhubungan Negeri, Datuk Jais Sarday.
Majlis Tertinggi UMNO telah menetapkan tarikh persidangan tahunan Cawangan UMNO dan Pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO dimulakan pada 19 Mei, 2018 sehingga 10 Jun, 2018.
Mesyuarat UMNO di peringkat bahagian pula ditetapkan pada 30 Jun, 2018 dan kesemua persidangan ini dijalankan secara serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat.
#akar umbi #bastien onn #calon #Helmi Buang #Johor #Mohamed Khaled Nordin #naib ketua pemuda #parti #pemilihan #Pemuda UMNO #PRU14 #UMNO
;