UMNO Johor cadang tanding kerusi Simpang Renggam pada PRU15 - Hasni
Siti Nur Aqilla Omar
Julai 11, 2022 15:59 MYT
Julai 11, 2022 15:59 MYT
PONTIAN: UMNO Johor merancang bertanding di kerusi Parlimen milik parti Gerakan di Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata ia berdasarkan kekosongan kerusi itu yang sebelum ini ditandingi calon dari Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Katanya perkara itu akan dicadangkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) Pusat.
"Dalam PRU14, UMNO bertanding 16 kerusi, MCA tujuh kerusi, MIC satu kerusi dan Gerakan satu kerusi.
"Jadi pada kali ini, saya merancang untuk UMNO bertanding 17 kerusi. Kerusi Gerakan itu di Simpang Renggam sesuai untuk UMNO.
"Kalau tidak ada perubahan kita akan cadangkan kepada BN Pusat supaya UMNO bertanding 17 kerusi pada PRU ke-15,dengan UMNO 17 kerusi, MCA lapan kerusi dan MIC satu kerusi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyerahan daging korban UMNO Bahagian Pontian dan ADUN Benut di sini, hari ini.
Pada PRU 14, calon Gerakan, Liang Teck Meng mendapat undi 14,682 tewas kepada Maszlee Malik dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menang dengan majoriti 3,475.
Pada Jun 2018, Gerakan mengumumkan keluar BN untuk menjadi parti bebas yang konstruktif.