UMNO Johor adakan konvensyen selepas PRN bincang isu pembangunan
Bernama
Julai 3, 2023 10:50 MYT
Julai 3, 2023 10:50 MYT
JOHOR BAHRU: UMNO Johor akan mengadakan konvensyen bagi memastikan isu pembangunan dan kemajuan di Johor dapat dijayakan khususnya perkara melibatkan kedudukan orang Melayu di negeri itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata konvensyen peringkat negeri itu dijangka diadakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri selesai, sementara tarikh dan lokasi akan diumum Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Abdul Halim Suleiman.
"Konvensyen itu perlu diadakan untuk kita memberi perhatian dan membincangkannya bersama kepimpinan peringkat akar umbi dengan kehadiran wakil-wakil dalam kerajaan supaya tidak ada jurang antara perkara yang perlu dilakukan untuk terus membela kedudukan orang Melayu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Johor di sini semalam. Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Ahmad Maslan.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi percaya bahawa bangsa Melayu di Johor mempunyai pelbagai aspirasi yang boleh diterjemahkan dan UMNO sebagai parti politik, bertanggungjawab untuk merealisasikan hasrat tersebut.
"Sudah tentu UMNO melalui Barisan Nasional yang membentuk kerajaan negeri perlu tahu apa aspirasi itu dan kita perlu menilai sama ada ia dapat diterjemahkan ataupun tidak. Jika kita lakukan, sejauh mana ia mencapai sasaran dan sebagainya.
"Komitmen kita adalah memastikan kita dapat mewakili orang Melayu di Johor khususnya secara berkesan. Satu cara mengukuhkan keberkesanan dan perjuangan kita berada pada landasan betul adalah melalui usaha mengadakan konvensyen," katanya.
Kali terakhir konvensyen itu diadakan pada 5 Okt 2019 yang dirasmikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
-- BERNAMA