UMNO jangan sombong, bongkak dan angkuh - Perwakilan Wanita
Sahlizah Mohamed
Disember 7, 2019 16:08 MYT
Disember 7, 2019 16:08 MYT
Kemenangan Barisan Nasional di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai bukan jaminan mutlak parti itu sudah diterima rakyat sepenuhnya.
Menurut Perwakilan Wanita UMNO, Senator Datin Rahimah Mahamad, UMNO dan BN perlu lebih muhasabah diri dan mengambil iktibar selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akibat senario politik yang diamalkan sebelum ini.
“Lihat semula sikap sebelum ini. Anasir kepuakan banyak berlaku dalam parti yang akhirnya menghasilkan satu gerakan yang lebih memberat kepada pertandingan merebut jawatan dalam parti berbanding dalam pilihan raya.
“Soalnya selama mana kita nak mendapat kemenangan dengan hanya mengharapkan kelemahan lawan... kalau lah Pakatan Harapan ubah pendekatan aspek kepedulian diutamakan, tidak mustahil rakyat akan kembali semula kepada mereka,” katanya semasa sesi perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di PWTC, pada Sabtu.
Menurut Rahimah, UMNO perlu membina dan menang dengan kekuatan sendiri dan bukan hanya sekadar menumpang kelemahan musuh.
Katanya, UMNO sudah penat memikul ahli yang memperkudakan parti untuk manfaat sendiri.
“UMNO sudah letih memelihara ahli yang menawaitukan kebendaan. Saya petik kata-kata Datuk Seri Adnan Yaakob yang mahu UMNO jangan sombong, bongkak dan angkuh,” jelasnya.
Justeru, beliau melahirkan kesyukutan atas pembentukan kerjasama UMNO-Pas.
“Kalau nak kira logik, kedua-dua parti ini adalah musuh tradisi dalam politik sejak sekian lama, tetapi dengan izin Yang Maha Esa, terbentuk Muafakat Nasional.
“Muafakat ini sudah terbukti keampuhannya dalam PRK lepas. Kita berharap Muafakat Nasional ini dengan kebijakan pemimpin UMNO akan kekal sehingga PRU15.
“Kita yakin jika Muafakat Nasional ini berkekalan..ia akan memudahkan kita menawan kembali Kelantan, Terengganu, Perlis, Pahang dan juga Kedah malah Johor, Negeri Sembilan dan juga Melaka,” jelasnya.
#Adnan Yaakob
#Barisan Nasional
#Pakatan Harapan
#PAU2019
#perhimpunan
#Perhimpunan Agung UMNO
#pilihan raya umum
#PRU14
#PWTC
#UMNO