UMNO jadi 'duri dalam daging' kepada blok pembangkang - Syed Ali
Astro Awani
Februari 22, 2018 21:05 MYT
Februari 22, 2018 21:05 MYT
UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetap menjadi 'duri dalam daging' kepada blok pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, hakikatnya, pembangkang mengakui amat perit memenangi PRU akan datang kerana kekuatan sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN.
"Oleh sebab itu, pembangkang melancarkan perang propaganda secara meluas dengan memberi gambaran buruk terhadap UMNO.
"Pembangkang turut menggunakan media alternatif untuk 'membunuh' personaliti pemimpin UMNO dengan hasutan dan fitnah.
"Jika mereka tidak gentar kepada UMNO, mengapa perlu mereka menyerang pemimpin UMNO dan BN dengan fitnah dan cacian melampau?" soalnya dalam catatan terbaharu di laman umnobahagiancheras.blogspt.my miliknya.
Tegas Syed Ali, pembangkang sebenarnya takut kepada semangat perpaduan dalam UMNO dan BN.
"Kerana itu mereka habis-habisan melancarkan serangan persepsi menjelang PRU14," ujarnya.
Syed Ali turut menepis tanggapan dan ramalan sesetengah pihak kononnya UMNO dan BN bakal kecundang dan kehilangan Putrajaya.
Jelasnya, gambaran tersebut hanya serangan persepsi pembangkang yang cuba mengalih perhatian rakyat.
"Saya yakin UMNO dan BN mampu mempertahankan Putrajaya dan Datuk Seri Najib Tun Razak kekal sebagai Perdana Menteri.
"Terlalu dangkal untuk mengatakan blok pembangkang mampu memerintah kerana sesama mereka tidak pernah sekata.
"Mereka (pembangkang) tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain," katanya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.
Keyakinan beliau itu berdasarkan kesukaran parti-parti politik pembangakng untuk bersatu dalam satu pakatan yang kukuh.
"Walaupun pembangkang membentuk Pakatan Harapan, tetapi jangkaan saya, seperti Pakatan Rakyat sebelum ini, akan hancur di pertengahan jalan.
"Di kalangan blok pembangkang masih meragui kekuatan mereka bila melihat UMNO masih mendapat sokongan padu rakyat terutama orang Melayu.
"Blok pembangkang menyedari UMNO menjadi duri dalam daging kepada mereka untuk memenangi PRU akan datang," tegasnya.
Justeru itu kata Syed Ali, pembangkang terpaksa memperalatkan beberapa bekas pemimpin UMNO yang selama ini berupa seteru politik mereka.
Beliau menjelaskan, blok pembangkang sebenarnya tidak mempunyai pemimpin berkaliber yang berupaya memenangi hati rakyat.
"Untuk raih sokongan rakyat, pembangkang terpaksa memperkudakan bekas-bekas pemimpin UMNO yang dikitar semula.
"Oleh sebab itu, kedaifan kepimpinan blok pembangkang tidak memungkinkan mereka mampu memenangi PRU dan membentuk kerajaan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali sekali lagi menjelaskan adunan tokoh muda dan berpengalaman sebagai calon BN pada PRU akan datang bakal memberi impak positif kepada parti.
Katanya, adunan tersebut menepati dengan jumlah pengundi yang sekarang ini sebahagian besarnya diwakili generasi muda.
"Matlamat BN adalah untuk menang dengan peratusan undi yang besar, jadi perkiraan itu perlu disesuaikan dengan perubahan masa.
"Dalam masa yang sama, mereka yang tidak tersenarai sebagai calon supaya tidak berkecil hati sehingga menjejaskan kekuatan parti," jelasnya.
Katanya, Najib selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN mempunyai cara tersendiri dalam isu penyenaraian nama calon pada PRU akan datang.
"Saya percaya Perdana Menteri akan melakukan yang terbaik demi memastikan kemenangan BN dan seterusnya kekal membentuk sebuah kerajaan yang stabil," ujarnya.
Beliau juga menyifatkan berita yang dipalu oleh Pas kononnya parti itu akan memenangi kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan sebagai gendang kosong.
"Pas dakwa mereka akan rampas Titiwangsa, menang di Setiawangsa termasuk di Putrajaya, ini sekadar gimik untuk menarik perhatian," katanya.