UMNO ibarat 'jatuh ditanduk kerbau' jika Tok Mat kalah

Sinar Harian
April 9, 2019 08:03 MYT
Sekiranya Mohamad, yang menang di DUN Rantau sejak 2004 tewas, ia pastinya merupakan tamparan besar buat beliau dan BN. -Gambar fail
Sekiranya calon PKR, Dr S Streram memenangi PRK DUN Rantau, kekalahan UMNO boleh diibaratkan seperti ‘UMNO jatuh ditanduk kerbau’.
Kenyataan itu disuarakan Exco Armada, Muzzammil Ismail yang berpendapat bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menang pada 13 April nanti.
Sekiranya Mohamad, yang menang di DUN Rantau sejak 2004 tewas, ia pastinya merupakan tamparan besar buat beliau dan BN.
“Perkara ini tidak mustahil kerana Menteri Besar Kedah, Perak, Melaka dan Johor yang berpenggal-penggal kukuh di negeri masing-masing juga boleh rebah walaupun suasana PRK ini berbeza dengan PRU sebelum ini.
“Namun, jentera PH perlu bekerja 25 jam sehari. Setiap jentera adalah imej parti. Jaga kelaku semasa berkempen. Tenang menghadapi provokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, rakyat mahukan pemimpin yang tidak rasis dan ikhlas bekerja untuk semua rakyat.
“Bukan pergi di kawasan Melayu, mengatakan bangsa lain pendatang. Pergi di kawasan India, sebut kuil lebih banyak daripada masjid,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Muzzammil turut memuji kepimpinan baru Kerajaan Negeri Sembilan yang nampak progresif dan menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyatnya.
“Antara bantuan diberikan adalah Bantuan Pendidikan RM1,000 untuk anak negeri sembilan yang menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
“Selain itu, ada juga bantuan tambang bas sekolah sebanyak RM 50 sebulan untuk murid keluarga berpendapatan rendah dan bantuan RM 100 setiap bulan kepada anak negeri sembilan di IPT.
“Bantuan am Orang Kurang Upaya (OKU) sebanyak RM200 sebulan pun ada termasuklah bantuan RM100 urusan persekolahan untuk anak-anak Felda Negeri Sembilan dan banyak lagi bantuan lain,” ujarnya.
#DUN Rantau #Exco Armada #Mohamad Hasan #Muzzammil Ismail #prk rantau #UMNO #UMNO jatuh ditanduk kerbau
;