UMNO 'husnuzon' terhadap Muafakat Nasional - Zahid
Bernama
Mac 15, 2023 21:41 MYT
Mac 15, 2023 21:41 MYT
KUALA NERUS: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu akan terus mengambil sikap 'husnuzon' (bersangka baik) terhadap Muafakat Nasional (MN).
Beliau berkata pihaknya perlu sentiasa bersangka baik kerana apa sahaja boleh berlaku dalam politik, namun pada masa ini pihaknya hanya mahu memfokuskan kepada usaha mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.
"Dalam pakatan besar ini, terdapat 20 parti politik dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak... Yang penting kukuhkan ini dahulu.
"Soal MN bergantung kepada siapa yang akan memimpin parti, yang ambil jalan untuk 'mufarakah' (keluar), tapi mungkin jika ada pertukaran pemimpin, hala tuju akan berubah," katanya selepas Sesi Pengenalan Calon Pemilihan UMNO Peringkat Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini MN yang dibentuk pada 2019 melibatkan kerjasama atara UMNO dan Pas.
Ditanya adakah MN telah berkubur, beliau berkata: "Ia masih di air tapi sama ada masih timbul atau tenggelam bergantung kepada kekuatan kakinya yang telah patah. Dulu patah sebelah, sekarang patah satu lagi," katanya.
Sementara itu Ahmad Zahid berkata pada masa ini pihaknya akan terus mengambil pendekatan berfikiran secara progresif demi kepentingan ummah.
-- BERNAMA