UMNO harus terima, hidup dengan kenyataan tewas dahsyat dalam PRU15 - Mohamad
Ridauddin Daud
Jun 7, 2023 21:53 MYT
Jun 7, 2023 21:53 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO harus terima dan hidup dengan kenyataan bahawa parti itu telah tewas dengan dahsyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, keputusan PRU15 harus membuatkan ahli UMNO sedar, tidak dabik dada, bercakap dan berhujah dalam penafian.
Tegasnya, UMNO juga tidak boleh berlagak seolah-olah parti itu keramat dan sangat kukuh sedangkan ditolak oleh rakyat Malaysia.
“Maka, bersandarkan realiti dan kedudukan, bahawa kita telah tewas, maka kepimpinan UMNO telah melakukan ijtihad politik, untuk bersama Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Kerana kita menyedari betapa kecilnya pengaruh kita di mata pengundi. Dan untuk survival UMNO, kita mesti mencari jalan menjadi sebahagian dari Kerajaan.
“Dengan kehendak Allah, UMNO dan BN yang cuma mempunyai 30 kerusi, ditakdirkan menjadi penentu dalam penubuhan kerajaan,” katanya.
Tambah beliau, UMNO, di sebalik kekalahannya, mempunyai kesempatan yang unik untuk memainkan peranan kritikal dalam penyelesaian kecelaruan politik pasca-PRU.
“Justeru, sangatlah penting untuk UMNO mempertahankan Kerajaan Perpaduan ini. Kerana kita adalah ‘rumus’ yang menjelmakan jawapan kepada kecelaruan politik tanah air, pada waktu itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di Kuala Lumpur pada Rabu malam.
Dalam pada itu, Mohamad juga mengajak semual ahli membelakangkan segala perbezaan, mengetepikan segala emosi, dan memperbaharui setiakawan demi UMNO, Malaysia dan bangsa Melayu.
“Ketepikan segala apa jua kemarahan, dendam, luka dan nestapa.
“Akhirnya, di mana ada manfaatnya, semua kemarahan, kebencian dan perbezaan tersebut untuk bangsa dan parti?
“Jangan musnahkan UMNO dengan amarah, dan dendam kesumat kita, hanya kerana cita-cita peribadi kita terkandas.
“Segala sindir menyindir di media umum wajar dihentikan. Perbuatan ini tidak ubah seperti menepuk air ke dulang, terpercik ke muka sendiri,” tegas beliau.
Katanya lagi, jika ada kritikan, meskipun bernas, ia haruslah disalurkan melalui medium dalaman.
“Masalah parti, kita selesaikan dengan cara parti,” katanya.