UMNO harus bersih, pemimpin didakwa rasuah perlu tarik diri pada PRU15 - Bastien
Wan Syamsul Amly
November 24, 2020 13:16 MYT
November 24, 2020 13:16 MYT
KUALA LUMPUR: Mana-mana pemimpin UMNO yang mempunyai kes mahkamah atau rasuah perlu mengetepikan diri dari terus menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menegaskan, tindakan itu merupakan ramuan untuk memastikan parti itu berjaya menawan kembali hati rakyat jika mahu meneruskan perjuangan tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas selepas pilihan raya kelak.
"Kita harus memastikan bahawa parti ini keterampilannya benar-benar bersih. Bermakna pemimpin yang ada masalah dengan mahkamah, ada masalah dengan rasuah perlu mengetepikan kedudukan dan tempat mereka pada PRU15.
"Kerana apa yang rakyat mahu sekarang adalah melihat parti bersih dan juga boleh mendatangkan keyakinan kepada mereka untuk menjadi kerajaan selepas PRU15.
"Rakyat tidak mahu lagi sebuah kerajaan yang dilihat boleh dikompromi dan juga pemimpin terpalit dengan isu rasuah, berbelanja mewah di luar batasan dan kemampuan kerana ini memberi gambaran sebenar cara pentadbiran sesebuah parti," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Pada Isnin, Bendahari Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan, sudah tiba masanya untuk gabungan itu meletakkan kepentingan akar umbi untuk kekal relevan kepada rakyat.
Ujarnya, kepentingan dan suara akar umbi amat penting dan perlu diambil perhatian berbanding persahabatan dengan parti lain.
Dalam pada itu, kata Bastien, UMNO juga perlu menjalin hubungan kukuh dengan pengundi muda terutama mereka yang akan pertama kali mengundi pada PRU15.
"Caranya, dengan membariskan jumlah pemimpin anak muda yang cukup dalam PRU15 nanti.
"Angka itu perlu cukup untuk menghubungkan antara pemimpin, pengundi pertama dan baharu.
"Ratio perlu betul dan kita tidak mahu ada kesenggangan hubungan antara pengundi pertama kali dan pengundi muda dengan barisan calon yang hendak diketengahkan BN," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi BN Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said pula melihat momentum Muafakat Nasional (MN) perlu diteruskan pada PRU15 akan datang.
Tegasnya, UMNO juga perlu terus menunjukkan peranan di dalam Perikatan Nasional (PN) sekali gus memperkukuhkan MN dengan janji-janji dan juga dasar-dasar baharu kerajaan.
"Kita akan dilihat menumbangkan kerajaan rakyat yang terbaik ketika pandemik ini walaupun mungkin ia tidak begitu baik (sempurna).
"Persepsi ini agak berat untuk UMNO hadapi dalam PRU15. Mahu atau tidak mahu, UMNO perlu terus berada dalam Perikatan Nasional (PN), memperkukuhkan MN dengan segala janji-janji dan juga dasar baharu dalam kerajaan PN yang menunjukkan UMNo berperanan dalam kerajaan hari ini.
"Kerana kita lihat ketidakpuasan yang berlaku dalam UMNO hari ini disebabkan oleh perasaan yang merasakan bahawa UMNO diabaikan dalam kerajaan PN," ujarnya.
Nada berlainan dimaklumkan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon yang melihat BN boleh rebah jika gabungan itu hilang arah tuju seperti yang dibincangkan selepas kekalahan pada PRU14 lepas.
Tegasnya, kemenangan pilihan raya kecil (PRK) berterusan sebelum ini membuktikan rakyat masih memberi sokongan kepada BN.
"Tetapi selepas perbincangan kita, apa pun yang berlaku landasan asas BN itu perlu diperkukuhkan. Kerjasama politik boleh dilakukan selepas itu.
"Jangan kerana kita hendak menjaga permuafakanan itu sehingga kita hilang hala tuju dan pentas paling penting yang memerdekaan Tanah Melayu, yang menjadikan Malaysia ini maju adalah landasan politik BN.
"Jadi kita mendapat satu konsensus perbincangan supaya untuk kita berjaya bekerjasama dengan mana-mana kelompok politik atau kuasa-kuasa baharu, BN itu perlu diperkukuhkan dahulu, baru boleh kita mempunyai keupayaan untuk bekerjasama dengan parti-parti lain," katanya.