UMNO di landasan betul bela rakyat - Musa Aman

Bernama
Februari 15, 2018 19:15 MYT
MUSA: Kita sentiasa turun padang untuk mendengar dan mendalami masalah serta keperluan rakyat. - Gambar fail/BERNAMA
UMNO berada di landasan yang betul dalam membela rakyat dan menyumbang kepada pembangunan negara, kata anggota Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Musa Aman.
Ketua Menteri Sabah itu berkata pemimpin UMNO di peringkat negeri dan pusat sentiasa menyedari keperluan rakyat dan berusaha untuk memenuhi keperluan itu.
"Kita sentiasa turun padang untuk mendengar dan mendalami masalah serta keperluan rakyat.
"Banyak pembangunan dilaksanakan kerajaan untuk rakyat namun kita menyedari masih banyak lagi diperlukan untuk kesejahteraan rakyat," katanya pada Majlis Bersama Rakyat dan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi Tinosa di sini hari ini.
Musa berkata kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN) dan ditunjangi UMNO juga mempunyai rekod yang baik dalam membela rakyat dan melaksanakan pembangunan negara.
Beliau berkata ia sejajar dengan komitmen kerajaan apabila memberikan janji kepada rakyat, ia akan ditunaikan kerana BN bukan parti yang berjanji kosong seperti diamalkan parti pembangkang.
"Janji kita tepati kerana rakyat akan tanya apa guna berjanji kalau tidak ditepati..Janji dikota dan ditepati," katanya.
Menurutnya parti pembangkang khususnya Parti Warisan di negeri ini kini masuk ke kampung memberikan janji yang tidak mampu mereka tunaikan dan memfitnah pemimpin kerajaan untuk meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya.
Musa yakin rakyat negeri ini bijak untuk menyokong dan menilai parti mana yang ada rekod baik membela dan memperjuangkan mereka iaitu BN yang menerajui kerajaan dengan pencapaian baik.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #BN #Ketua Menteri Sabah #Majlis Tertinggi UMNO #Musa Aman #pembangunan negara #rakyat #Sabah #UMNO
;