UMNO, DAP perlu formula cari titik persamaan - Penganalisis politik

Faida Rahim
Mei 21, 2023 21:47 MYT
Beliau percaya situasi ini akan memakan masa seperti mana pernah diperkatakan Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa ia sukar tetapi tidak mustahil untuk bergerak ke arah itu.- FB Sivamurugan Pandian
KUALA LUMPUR: Parti UMNO dan DAP perlu melahirkan kesepakatan dari akar umbi hingga ke pimpinan tertinggi dalam usaha bergerak ke hadapan.
Penganalisis Politik USM, Prof Dr Sivamurugan Pandian memaklumkan meskipun ia tidak semudah untuk dilaksanakan namun dengan formula mencari titik persamaan itu dapat ditemui pada masa akan datang.
"Ia tidak semudah yang kita perkatakan. Kita tidak boleh lihat dalam jangka masa enam bulan permusuhan selama 22 hingga 25 tahun itu dapat selesai dengan baik.
"Barangkali dengan formula dan tawaran baharu dan usaha untuk memastikan bahawa masing-masing mahu melihat titik persamaan itu mungkin akan membawa kepada usaha aliran sokongan daripada UMNO kepada DAP dan sebaliknya.
"Cuma masing-masing akan menggunakan logo yang berbeza. Barangkali itu yang perlu diselesaikan secara bijak... ditangani dengan kerjasama dengan pemilihan calon sesuai yang dikompromi oleh kedua-dua pihak...
"... dengan rangka strategi gerak kerja ketika berkempen serta memastikan tidak ada sokongan yang membawa rebah ataupun musuh dalam selimut yang boleh mengganggu proses tersebut," katanya dalam program Fokus Minggu Depan pada Ahad.
Sementara itu, beliau percaya situasi ini akan memakan masa yang mana pernah diperkatakan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa ia sukar tetapi tidak mustahil untuk bergerak ke arah itu.
"Mana-mana parti sekalipun, formula sekarang perlu melihat kepada persekitaran wajah politik baharu dengan usaha ke arah dasar yang sesuai dengan persekitaran yang mereka huni, tidak lagi secara jumud terikat dengan politik tradisional tetapi politik moden.
"Itu memerlukan pemimpin yang sebenarnya yang tahu politik matang. Politik berhemah inilah yang menjadi sandaran politik keetnikan dan perkauman, walaupun tidak dapat dielakkan sama sekali dalam konteks di negara kita. Ia perlu diminimakan agar masing-masing dapat melihat hasil yang lebih baik pada masa akan datang," katanya.
#UMNO #DAP #Prof Dr Sivamurugan Pandian #formula politik
;