UMNO dan Pas belum bertunang pun, hanya 'main mata' - Mohd Amar
Muhafandi Muhamad
Mac 13, 2019 06:01 MYT
Mac 13, 2019 06:01 MYT
Pas belum berbincang dengan UMNO mengenai pakatan untuk membentuk kerajaan campuran di beberapa buah negeri termasuk Perak dan Kedah.
Naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara tersebut juga tidak disentuh dalam perjumpaan jawatankuasa induk Pas-UMNO pada 5 Mac lepas.
“Itu pandangan awal (Timbalan Presiden UMNO) Datuk Seri Mohamad Hasan. Ia tidak dibincangkan pun. Kami dengar sahajalah. Itu mungkin hasrat dia. Kami belum bincang lagi. Ia kena dibincang.
"Mesyuarat (jawatankuasa bersama) baru-baru ini, kita baru meneroka ruang-ruang yang ada keperluan-keperluan macam mana (dalam usaha politik).
"Setakat ini tertumpu kepada pilihan raya kecil (PRK) Rantau. Itu fokus kita sekarang ini," katanya pada Rabu, merujuk kepada PRK Rantau yang akan diadakan pada 13 April ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Mohamad mengenai hasrat UMNO membentuk kerajaan campuran di empat negeri yang dikuasai Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Secara peribadi, katanya, beliau kurang bersetuju dengan cadangan membentuk kerajaan campuran tersebut sebaliknya mahu Pas dan UMNO kekal sebagai parti pembangkang yang gagah dengan memainkan peranan lebih baik.
Pada masa ini, Kedah dan Perak diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti kecil iaitu masing-masing empat dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri.
Mohd Amar berpandangan, tidak wajar untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri melalui "jalan belakang" dan PH di negeri berkenaan harus dibiarkan memerintah sehingga tamat penggal.
"Kalau tanya saya secara peribadi, biarlah berjalan apa yang ada hari ini. Biar kekal kerajaan PH (di Perak dan Kedah). Biar mereka memerintah sehingga habis penggal.
"Bukan cara kita ambil sesebuah kerajaan di tengah jalan," tambahnya.
Mengulas kerjasama politik antara Pas dan UMNO, Mohd Amar memaklumkan ia hanya melibatkan pilihan raya kecil dan tidak lebih dari itu.
Bahkan, katanya, UMNO dan Pas belum mengikat tali pertunangan atau berkahwin, sebaliknya hanya di peringkat "orang muda baru bermain mata”.
Sebarang ketetapan sama ada untuk menjalinkan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan UMNO perlu mendapat persetujuan dan ketetapan dalam Muktamar Pas, tambahnya.
#Barisan Nasional
#kerajaan campuran
#Mohamad Hasan
#Mohd Amar Nik Abdullah
#Pakatan Harapan
#PAS
#pembangkang
#pilihan raya kecil
#politik
#UMNO