UMNO dan BN tidak amalkan politik 'barbaric', menzalimi - Zahid

Astro Awani
Februari 4, 2021 14:15 MYT
Zahid menjelaskan UMNO dan BN bersaing dengan pihak lawan menerusi idealogi, hujah dan fakta. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: UMNO tidak mengamalkan politik 'barbaric' (tidak bertamadun), kebencian dan dendam, kata presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Zahid, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mengamalkan sikap menganiaya dan menzalimi lawan hanya kerana berbeza fahaman politik dan kerana mahu kekal berkuasa.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya, Zahid menjelaskan UMNO dan BN bersaing dengan pihak lawan menerusi idealogi, hujah dan fakta.
"UMNO dan BN bersaing dengan ideologi, dengan hujah dan fakta. Dengan perkhidmatan, demi apa yang terbaik kepada rakyat untuk rakyat.
"Justeru tidak perlu khuatir dengan kebangkitan sepenuhnya UMNO dan BN nanti. Tidak perlu takut dengan bayang-bayang sendiri.
"Jika ditakdirkan ada sebarang perkara berkaitan perundangan pun semata-mata berlandaskan keluhuran Perlembagaan," katanya.
Beliau juga menjelaskan UMNO dan BN serta ahli-ahlinya sangat profesional dan 'gentleman'.
"Doa yang baik-baik sahaja," katanya lagi.
Namun, Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak menyebut pihak mana yang dimaksudkan beliau dalam kenyataan tersebut.
Sumber Facebook zahidhamidi.fanpage
#Ahmad Zahid Hamidi #UMNO #Barisan Nasional #idealogi #hujah #fakta #bertamadun #dendam
;