UMNO dan BN 'boikot' PRK Port Dickson
Firdaus Azil
September 24, 2018 18:14 MYT
September 24, 2018 18:14 MYT
Mesyuarat Biro Politik UMNO hari ini memutuskan untuk ‘memboikot’ Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang akan berlangsung tidak lama lagi, kerana pertandingan berkenaan hanya semata-mata memenuhi cita-cita politik individu, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Selain itu, ujarnya lagi, beliau juga telah mengadakan rundingan dengan parti komponen lain iaitu MIC dan MCA, dan mereka juga bersetuju untuk tidak bertanding di kerusi itu.
"Ertinya, kita tidak akan letakkan sebarang calon yang mewakili mana-mana parti Barisan Nasional (BN), atau atas nama BN," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, di sebalik kenyataan berterusan Kerajaan Pakatan Harapan bahawa mereka dilanda kemelut kewangan, sepatutnya peruntukan sekitar RM3.6 juta untuk PRK itu digunakan untuk membantu rakyat.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sebelum keputusan itu dibuat, beliau turut mengadakan perundingan dengan MIC dan MCA.
Ditanya sekiranya UMNO dan BN akan membantu PAS sekiranya parti itu ingin meletakkan calon, Ahmad Zahid berkata, keputusan akan diperhalusi berdasarkan 'case-to-case'.
"Saya pikir pandangan kami oleh kerana penglibatan kami adalah case to case basis, maka tentunya jika ada calon pas bertanding, maka kita rasakan bahawa kita tidak ada perundingan ke arah untuk memberikan sokongan atau menyediakan jentera kerana keputusan kami memboikot pilihan raya port dickson itu," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pandangan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa UMNO perlu disingkirkan atau BN perlu dibubarkan sekiranya UMNO mahu bekerjasama dengan PAS, Ahmad Zahid berkata, perkara itu sering kali disalah erti.
"Saya baru sahaja berkomunikasi dengannya (Tiong Lai). Beliau nyatakan sekiranya UMNO-PAS tubuhkan gabungan maka prinsip itu tidak boleh diterima.
"Sebenarnya, cadangan antara UMNO-PAS sebagai rakan dalam gagasan pembangkang. Maka ini sudah dipersetujui rakan BN. Jadi, tidak timbul dengan apa yang diperkatakan oleh Tiong Lai," jelasnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengulas mengenai tindakan segelintir pemimpin UMNO yang secara terbuka menyatakan sokongan mereka terhadap calon Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas alasan, pemimpin itu bakal menjadi Perdana Menteri.
Beliau menjelaskan bahawa tindakan disiplin hanya akan diambil sekiranya seseorang individu yang ditentang itu merupakan calon UMNO atau BN.