UMNO dalam dilema, tidak banyak opsyen tangani krisis kepercayaan orang Melayu - Mujibu

Madiha Abdullah
Ogos 13, 2023 20:40 MYT
UMNO kini berhadapan dengan tiga isu yang setakat ini tidak mampu diselesaikan, termasuk isu kepimpinan dan kerjasama dengan DAP. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sudah jelas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu memperlihatkan masalah besar yang dihadapi UMNO dengan pengundi Melayu.
Felo Penyelidik ILHAM Centre dan Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abdul Muis berkata, UMNO kini berhadapan dengan tiga isu yang setakat ini tidak mampu diselesaikan, termasuk isu kepimpinan dan kerjasama dengan DAP.
"Jangkaan yang akan berlaku adalah bagaimana dinamika kepimpinan UMNO terutama selepas dapatan di lapangan menunjukkan isu-isu terkait dengan UMNO tidak beres dalam tiga perkara iaitu - kemarahan akar umbi terhadap peranan Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) sebagai Presiden UMNO, yang nampak bukan saja tidak diyakini akar umbi malah (kumpulan) sympathizer dan fence sitter yang selama ini berpihak kepada UMNO.
"Kedua, mereka dalam UMNO masih lagi tidak selesa dengan Pakatan Harapan terutama dalam konteks DAP, yang sering diterjemahkan mereka sebagai tiada kena mengena dengan bangsa Cina tetapi lebih kepada isu dengan parti DAP.
"Ketiga isu yang terkait dengan Barisan Nasional, di kawasan BN boleh menang kalau letak calon mereka, tetapi diletakkan calon lain dan akar umbi lakukan undi protes seperti tidak turun mengundi dan sebagainya," katanya dalam program Fokus Minggu Ini yang bersiaran pada Ahad.
Mujibu juga melihat akan ada tekanan yang berterusan daripada akar umbi dan pimpinan UMNO, dan UMNO kini berada dalam dilema memandangkan tidak banyak opsyen yang dimiliki mereka dalam usaha untuk menyelesaikan isu krisis kepercayaan orang Melayu.
"Katakanlah akar umbi UMNO desak Zahid untuk berundur dan diganti dengan orang baharu, ini akan meredakan sedikit tekanan tapi apakah tindakan itu akan beri penyelesaian jangka sederhana dan panjang kepada UMNO?
"Kedua, katakan UMNO meminta untuk tidak bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan, apakah itu akan beri kelebihan kepada UMNO dengan bergerak solo?
"Atau mereka terus bersama Perikatan Nasional yang pada pandangan saya akan mengecilkan lagi ruang untuk UMNO bernafas, memandangkan Pas parti terbesar dalam konteks undi Melayu, berbanding dengan mereka tinggal bersama Pakatan Harapan dan gunakan ruang sebagai kerajaan dalam tempoh yang berbaki untuk perbaiki diri," katanya lagi.
#pilihan raya negeri #PRN #UMNO #Barisan Nasional #Pakatan Harapan
;