UMNO cadang guna sistem biometrik kepada media semasa Perhimpunan Agung UMNO
Bernama
Oktober 22, 2015 20:19 MYT
Oktober 22, 2015 20:19 MYT
UMNO sedang mempertimbangkan cadangan menggunakan sistem biometrik dalam mempertingkatkan kawalan media yang membuat liputan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 pada Disember ini.
Setiausaha Kerjanya Datuk Abd Rauf Yusoh berkata ini adalah bagi memastikan hanya media yang telah mendapat kelulusan daripada pihak urusetia UMNO dibenarkan membuat liputan PAU di Dewan Merdeka serta berada di Laman Media, iaitu pusat operasi media sempena perhimpunan itu.
Untuk itu, UMNO sedang mengkaji kaedah-kaeadah yang lebih baik untuk memastikan sistem kawalan ini dapat diperketatkan, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Media PAU 2015 di sini hari ini.
Abd Rauf juga berkata lebih 2,000 petugas media, dari dalam dan luar negara akan membuat liputan dan setakat ini pihak sekretariat UMNO telahpun menerima lebih 500 permohonan daripada pihak media.
Beliau berkata pihak media mempunyai masa hingga 31 Okt ini untuk mengemukakan permohonan untuk membuat liputan PAU 2015, dan UMNO akan hanya memberikan kelulusan kepada pihak media yang telah lulus saringan keselamatan yang dijalankan oleh parti itu.
Beliau juga berkata perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan diadakan pada malam 8 Disember, sementara Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan selama tiga hari mulai 10 Disember ini.