UMNO bukan landasan cari kekayaan diri - Rahim Thamby Chik
Wan Syamsul Amly
Januari 12, 2018 09:10 MYT
Januari 12, 2018 09:10 MYT
Memilih pemimpin parti hanya berasaskan kesetiaan kepada kepimpinan semata-mata akan akhirnya membawa kepada kerosakan kepada UMNO, kata Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.
Menurut Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) itu, ahli UMNO yang setia juga perlu memiliki dan menghayati perjuangan asal organisasi itu sendiri.
"Kesetiaan sebagai landasan mencari rezeki dan kekayaan diri mesti diketepikan tanpa kompromi," katanya dalam catatan terbaharu di laman Twitternya.
Catatan terbaharu di laman Twitter Rahim mahu pemimpin UMNO tidak menjadikan parti sebagai landasan mencari kekayaan diri. - Sumber gambar Twitter @RahimRTC
Dalam pada itu, katanya, pemimpin UMNO juga tidak harus 'syok sendiri' bila melihat peserta yang ramai menghadiri perhimpunan besar yang dianjurkan, tanpa menilai prestasi parti di peringkat akar umbi.
Catatan terbaharu di laman Twitter Rahim mahu pemimpin UMNO tidak syok sendiri dengan kehadiran peserta yang ramai dalam perhimpunan anjuran parti. - Sumber gambar Twitter @RahimRTC
Dalam perkembangan berasingan, Abdul Rahim menjelaskan, bekas naib presiden UMNO Tan Sri Muhammad Muhammad Taib menyatakan realiti sebenar apabila menyebut pemimpin yang tidak berfungsi perlu diketepikan segera dari parti.
"Kenyataan berani Mat Taib, UMNO penuh dengan pemimpin yang tidak berfungsi yang harus diketepikan mesti diberi perhatian serius oleh UMNO termasuk WarRoomnya.
"Bila PRU (pilihan raya umum) menjelang, mereka ini yang paling sibuk dan menyibuk hanya bila ada pemimpin buat lawatan. Mereka jadikan UMNO hambar!" tegasnya.
Muhammad sebelum ini menyatakan UMNO sudah dalam keadaan 'baik' kecuali kewujudan beberapa pemimpin serta tokoh yang dianggapnya tidak berfungsi serta tidak lagi diperlukan.
Sementara itu jelas Abdul Rahim, UMNO perlu berwaspada apabila Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, parti itu harus merancang strategi supaya ia berada di hadapan dalam menangani situasi itu.
"Dalam PRU13, dengan moraliti yang cedera dan parah, Anwar mampu deliver kemenangan 'popularity vote' untuk PR.
"Kini digabung beliau dengan bekas jaguh UMNO yang evergreen, situasi jadi tak menentu. UMNO mesti lebih setakuk ke depan!" tegasnya.
Abdul Rahim juga menggesa UMNO berdepan dengan bekas tokohnya (Dr Mahathir) yang pernah menewaskan ramai pemimpin lain di dalam parti itu sendiri.
"Dalam laluan sejarah politik negara, banyak konflik dan krisis dialami dan diatasi UMNO menjadikanya lebih segar dan mekar.
"Kali ini UMNO hadapi bekas tokohnya yang pernah menewaskan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
"UMNO perlu memiliki strategi setakuk ke depan," ujarnya.