UMNO bukan 'bursa saham', kaut keuntungan peribadi - TPM
Bernama
September 3, 2016 20:56 MYT
September 3, 2016 20:56 MYT
Semua anggota dan pemimpin UMNO diminta tidak menggunakan parti itu sebagai 'Bursa Saham' untuk mengaut keuntungan dan kepentingan peribadi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata mereka yang menggunakan peperangan politik untuk mendapatkan 'ghanimah' (harta rampasan perang) hanya akan membawa kehancuran kepada parti.
"Dalam peperangan politik, apa diperlukan setelah menang ialah ghanimah yakni pulangan politik. Jika ghanimah tidak diperoleh dalam peperangan, maka pengikut akan melakukan protes senyap yang boleh menyebabkan organisasi rosak.
"Apabila kepentingan peribadi jadi keutamaan dan organisasi politik jadi pentas untuk ghanimah dicapai, tunggulah ketikanya kehancuran datang tanpa dihancurkan daripada luar, (sebaliknya) kita yang izinkan kehancuran berlaku dari dalam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pokok Sena di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua UMNO bahagian itu Datuk Ariffin Man.
Justeru itu, beliau mengingatkan anggota UMNO bahawa parti berusia 70 tahun itu bukanlah bursa saham yang boleh diperdagang untuk mengaut keuntungan, sebaliknya ia adalah sebuah institusi sosial untuk orang Melayu serta tulang belakang Barisan Nasional memperjuang kepentingan masyarakat majmuk.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mahu semua anggota UMNO mengetepikan soal pesimistik tetapi memikirkan kaedah mencari pemimpin berkualiti yang bukannya naik kerana politik wang.
"Kita ingin pemimpin yang ada kepimpinan, autentik dan asli serta tidak utamakan kepentingan peribadi," katanya.
Beliau turut meluluskan peruntukan bagi membina sebuah dewan serbaguna di Pokok Sena serta RM2 juta untuk projek kecil di daerah itu.