UMNO buat post mortem PRN nilai kelemahan - Khaled Nordin

Bernama
Ogos 15, 2023 13:58 MYT
Mohamed Khaled bercakap ketika sidang media pada Majlis Perasmian Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023 di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini. - Foto BERNAMA
SERDANG: UMNO akan mengadakan post mortem bagi mengenal pasti kelemahan yang menyumbang kepada kekalahan di kerusi yang ditandingi parti itu, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Sabtu lepas, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mengulas desakan agar Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur ekoran keputusan PRN yang tidak menyebelahi UMNO, Mohamed Khaled yang merupakan Menteri Pengajian Tinggi berkata terdapat banyak faktor yang mungkin mempengaruhi keputusan PRN itu.
"Biar reda (dulu), kita lakukan post-mortem dan cari kelemahan kita," katanya desakan bagi Ahmad Zahid berundur, hanyalah jalan pintas dan mudah sebagai alasan atas kekalahan pada PRN tersebut.
Pasca #6NegeriMemilih: Desak Zahid letak jawatan hanya jalan pintas kemuka alasan - Khaled
UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi yang ditandingi dalam PRN di enam negeri itu. BN menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, dua masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang, satu di Kelantan serta gagal meraih sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.
"Mungkin bagi pengundi UMNO, ini pertama kali bekerjasama dalam satu pasukan yang dahulunya mereka lawan sama sendiri. Ini semua ambil masa dan hanya masa akan tentukan," kata Mohamed Khaled kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023 di sini hari ini.
Terdahulu ketika berucap merasmikan persidangan itu, Mohamed Khaled meminta peserta untuk mengemukakan lima idea besar yang bersifat pengubah keadaan dalam isu keterjaminan makanan dalam negara, yang antaranya menyentuh cadangan strategi jangka pendek dan panjang.
"Carilah mekanisme atau jalan baharu yang radikal, praktikal dan yang benar-benar membawa perubahan. Bagaimana kita harus memacu dan memberi nilai tambah dalam aspek keterjaminan makanan dan pertanian mampan," katanya.
Persidangan tersebut akan membincangkan isu sekuriti makanan dalam negara secara intensif dan bertujuan membentuk kerjasama antara institusi awam dan swasta, ke arah mencapai pertanian lestari dan kestabilan sekuriti makanan.
Bertemakan 'Kelestarian Produktiviti Makanan Negara', persidangan itu menghimpunkan lebih 400 peserta dalam kalangan penggubal dasar, ahli akademik, penyelidik dan usahawan, akan menghasilkan satu kertas resolusi agenda keterjaminan makanan untuk diserahkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
-- BERNAMA
#PRN #UMNO #post mortem #Mohamed Khaled Nordin #Zahid Hamidi
;