UMNO, BN tidak seburuk yang disangka - Zahid Hamidi
Firdaus Azil
Disember 24, 2022 15:05 MYT
Disember 24, 2022 15:05 MYT
SHAH ALAM: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidaklah seburuk yang disangkakan biarpun parti itu dijadikan bahan kempen politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN itu berkata, persepsi negatif yang sering dimainkan terhadap parti itu, malah kepada dirinya sendiri, tidak menunjukkan gambaran yang sepenuhnya.
Buktinya, jelas Timbalan Perdana Menteri, UMNO dan BN di bawah pimpinan beliau sendiri mengambil pendirian keadaan negara yang stabil harus diberi keutamaan, sekali gus memutuskan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mewujudkan Kerajaan Perpaduan Malaysia.
“Bila dah kenal, dah jatuh cinta, dan tidak ada lagi persepsi negatif. Kami dalam UMNO dan BN tidak seburuk bagaimana gambaran diberikan.
“Kami berpegang kepada prinsip bahawa negara ini perlu diwujudkan sebagai negara yang stabil, politik yang stabil demi pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Maka soal itu jelas, bagaimana untuk kita maju ke hadapan, pastikan ada food on the table, money in the pocket. Tiga perkara ini penting apabila kita menjaga kerajaan, maka elemen yang lain itu akan dapat diketepikan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra bersama Timbalan Perdana Menteri anjuran Persatuan Penganut Kuil Sree Maha Kaliamman, di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, perbedaan politik dari segi ideologi adalah sesuatu yang boleh diraikan, namun, ia tidak boleh dibiarkan sehingga mengganggu-gugat kestabilan negara.
“Maka tentunya apabila PM cadangkan sekretariat bagi tentukan dasar parti politik yang berbeza ini, dapat kita hadamkan untuk melihat kebersamaannya.
“Maka sekretariat Kerajaan Perpaduan dari segi parti politik dibentuk, manifesto yang dikemukakan oleh parti yang sertai Kerajaan Perpaduan Malaysia ini telah dilihat dengan sepenuhnya.
“Kita cari manifesto parti politik yang ada kesamaan dan kita lihat butiran manifesto ini untuk kita cari titik pertemuan antara satu sama lain. Maka perkara pertama yang dilihat dalam semua manifesto kerajaan ini daripada parti-parti politik berbeda, perkara pertama harus dilihat, harus dilaksanakan, jadi quick win, ialah menangani kos sara hidup,” katanya lagi.
Atas sebab itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan hari ini terus memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan beban rakyat, termasuk pengumuman tidak menaikkan taraf elektrik baru-baru ini, termasuk penubuhan jawatankuasa pelaksanaan dan pemantauan kos sara hidup yang beliau sendiri pengerusikan.