UMNO, BN tidak ketandusan pemimpin walaupun ramai diheret ke mahkamah
Petrus Bernard
September 4, 2022 22:03 MYT
September 4, 2022 22:03 MYT
TAWAU: UMNO tidak akan akan ketandusan pemimpin walaupun terdapat beberapa pimpinan tertinggi parti itu diheret ke mahkamah.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan berkata pengalaman parti itu menempuh pelbagai cabaran sejak ditubuhkan menjadikan parti sentiasa kukuh.
“UMNO-Barisan Nasional tidak ketandusan pemimpin… jika kita lihat pada sejarah UMNO ini, pelbagai masalah dan rintangan telah kita harungi namun kita tidak pernah ketandusan pemimpin.
“Sebab dalam perjuangan UMNO dan BN bukan pemimpin yang kita perjuangkan tetapi kerana kita mendokong parti keramat UMNO dan BN, itu yang menjadikan kita tetap bersemanagat dan terus berjuang,” katanya.
Ketika ditanya berkaitan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sedang berdepan pertuduhan di mahkamah, katanya seluruh pemimpin dan ahli UMNO Sabah sentiasa memberikan sokongan.
“Datuk Bung belum didapati bersalah, apa pun yang terjadi kepada Datuk Bung beliau adalah pemimpin kami, Datuk Bung adalah pemimpin utama Barisan Nasional di Sabah… apa pun terjadi kami tetap bersama Datuk Bung,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan himpunan gelombang biru yang dihadiri 7,000 masyarakat Tawau dan Kalabakan di Padang Perbandaran Tawau pada Ahad.
Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO Malaysia merangkap Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Shahril Sufian Hamdan; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup; Pengerusi MCA Sabah, Lu Yen Tung dan barisan pemimpin UMNO Sabah.