UMNO-BN Sabah tidak mahu 'pisang berbuah dua kali' - Bung Moktar

Sinar Harian
Mac 11, 2024 08:50 MYT
Bung disambut meriah oleh ahli UMNO pada program Gerak 17 UMNO Sabah Dewan Undangan Negeri Sungai Manila di Dewan Program Perumahan Rakyat Sungai Manila, Sandakan. - Foto Sinar Harian
SANDAKAN: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah mengambil langkah lebih berhati-hati sebelum mengambil keputusan menjalin kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Langkah berhati-hati itu bertujuan untuk mengelak berlakunya 'pisang berbuah dua kali' sekali gus sebagai pengajaran daripada apa yang berlaku selepas PRN16.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kejadian lalu menjadi iktibar apabila sumbangan dan jasa UMNO-BN bagi memastikan kerajaan negeri dapat dibentuk selepas PRN16 dinafikan disebabkan kerakusan politik.
"Kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa ini, walaupun kita pada ketika itu tinggal serumah namun bilik asing-asing ibarat melukut di tepi gantang.
"Kali ini kita tidak mahu lagi selepas berunding nanti kita dikhianati," katanya selepas menghadiri program Gerak 17 UMNO Sabah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila di Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila, di sini semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Setiausaha Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin; Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manlia, Datuk Mokran Ingkat.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan turut mengakui ada perbicangan dilakukan bersama parti lain namun pihaknya belum mengambil sebarang keputusan.
"Berbincang dan memutuskan adalah dua perkara berbeza. Kita ingin melihat mana-mana parti yang kita rasa boleh membawa keuntungan dan pemimpin parti itu juga menghormati parti kita dan keputusan bersama.
"UMNO-BN akan menjalin kerjasama dengan parti yang menghormati perjanjian bersama. Kita juga akan melihat rakan-rakan yang ada kesetiaan dan keikhlasan dalam melaksana tanggungjawab sebagai gandingan untuk memperjuang untung nasib rakyat Sabah, kita tidak mahu lagi krisis dalaman yang mengganggu usaha membangunkan Sabah," katanya
Sementara itu, Bung Moktar memaklumkan BN Sabah melantik 25 penyelaras bagi setiap Parlimen di negeri ini sebagai persediaan menghadapi PRN17.
"Pada 5 Mac lalu, BN Pusat bermesyuarat dan mempersetujui pelantikan 25 penyelaras BN di seluruh Parlimen di Sabah.
"Walaupun pilihan raya dijangkakan bulan September tahun depan, tetapi biasanya di Sabah kurang daripada lima tahun. Oleh itu, kita perlu bersedia daripada awal untuk memastikan Umno dan BN benar-benar mampu untuk berlawan dalam pilihan raya akan datang," katanya.
Bung disambut meriah oleh ahli UMNO pada program Gerak 17 UMNO Sabah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila di Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila, Sandakan. - Sinar Harian
#Bung Moktar Radin #UMNO #Sabah #pilihan raya negeri
;