UMNO-BN perlu diberi peluang tanding PRK Pulai, Simpang Jeram

Sinar Harian
Ogos 13, 2023 13:54 MYT
Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, semangat UMNO yang menjadi tulang belakang kekuatan BN masih kuat berakar umbi di negeri ini. - Gambar fail
PONTIAN: Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlu diberikan peluang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September depan.
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, semangat UMNO yang menjadi tulang belakang kekuatan BN masih kuat berakar umbi di negeri ini.
"Dalam pilihan raya negeri (PRN), ada sahaja perbincangan dan pertukaran kerusi antara parti-parti dalam gabungan yang dibuat berdasarkan kepada perkembangan politik semasa.
"Oleh itu, saya berpandangan tidak salah jika semangat itu diterjemahkan di Johor, mungkin salah satu kerusi diserahkan kepada BN dan UMNO, jika tidak boleh kerusi Parlimen mungkin kerusi DUN," ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada peserta Sukan Bangsa Johor peringkat DUN Benut di Dataran Datuk Jalok, di sini pada Sabtu.
Bekas Menteri Besar itu menambah, BN dan UMNO telah membuktikan keupayaan dan kesungguhan untuk memenangi PRN Johor pada Mac tahun lalu, apabila memperoleh majoriti dua pertiga ketika itu.
"Penyertaan dalam PRK sama ada Pulai atau Simpang Jeram akan memberi semangat kepada jentera bekerja dan menyumbang kemenangan.
"Maka kita perlu lakukan apa sahaja agar UMNO dan BN terus menjadi faktor penentu utama setiap kali pilihan raya diadakan," ujarnya.
Bekas Pengerusi UMNO Johor turut menjelaskan kerjasama baik yang ditunjukkan semua parti BN dan Pakatan Harapan (PH) seharusnya diterjemahkan dalam perfahaman bagi memberi laluan kepada BN dan UMNO bertanding pada PRK kelak.
"Di Johor, cukup penting jika sudah ada kerjasama, ia jelas menunjukkan wujud persefahaman yang baik antara semua parti.
"Mungkin parti yang menang pada PRN lalu, boleh menunjukkan keterbukaan dan berjiwa besar beri peluang kepada BN dan UMNO bertanding," katanya.
PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub, 23 Julai lalu.
Pada 3 Ogos lalu, BN dilaporkan akan memberi laluan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding pada PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat atas semangat perkongsian politik dalam Kerajaan Perpaduan. - Sinar Harian
#PRK #Pulai #DUN Simpang Jeram #UMNO
;