UMNO bersiap sedia hadapi PRN

Bernama
April 15, 2023 20:54 MYT
Reezal Merican berkata dalam masa sama keserasian antara UMNO dan BN dengan Pakatan Harapan (PH) juga berjalan dengan baik. - Gambar fail
KEPALA BATAS: UMNO sedang giat membuat persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dengan kesiapsiagaan jenteranya ketika ini telah mencapai 80 peratus.
Ketua Jabatan Pilihan Raya UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau telah bertemu dengan enam badan perhubungan UMNO dan kesiapsiagaan untuk menghadapi PRN berada di tahap yang amat tinggi.
Reezal Merican yang juga Ketua Bahagian UMNO Kepala Batas berkata dalam masa sama keserasian antara UMNO dan BN dengan Pakatan Harapan (PH) juga berjalan dengan baik.
"Keserasian antara BN dan PH yang menjadi tonggak dalam Kerajaan Perpaduan seperti di peringkat Persekutuan dan yang telah berlaku di Pahang, Perak dan Melaka, ia akan diterjemahkan menerusi PRN nanti.
Kita tak nak pusat kata lain, negeri kata lain. Jadi kita nak pasti semua gerak kerja selari dalam menghadapi PRN kali ini memandangkan pola pengundian kini tidak sama," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Aidilfitri Parlimen Kepala Batas 2023 di sini hari ini kepada 400 asnaf, warga emas dan anak-anak yatim.
Pada PRU-15, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN dan dilaporkan pemimpin enam negeri itu mencapai kata sepakat bahawa masa paling sesuai pembubaran DUN masing-masing adalah dalam dua minggu terakhir Jun.
Reezal Merican berkata formula yang bakal dibawa pada PRN adalah formula gagasan Kerajaan Perpaduan.
"Asas yang sama akan dibawa ke PRN untuk keenam-enam negeri nanti. Di peringkat UMNO, Alhamdulillah dan ada negeri yang sudah mula perbincangan dan rundingan awal (dengan PH)," katanya.
Dalam pada itu, katanya PH, UMNO dan BN mempunyai keazaman yang tinggi untuk bersama-sama dan ini terbukti dalam banyak hal antaranya kesediaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim singgah di Kepala Batas semalam (Jumaat) untuk solat Isyak dan terawih walaupun jadual beliau amat padat ketika di negeri ini.
"Selain itu, program-program kita juga turut dihadiri oleh Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang dan ia berlaku bukan sekali. Ini syarat awal bahawa keazaman untuk membentuk kerajaan berpandukan Kerajaan Perpaduan amat tinggi.
"Dari situ, kita boleh lihat keserasian yang dipupuk dalam masa yang singkat. Dalam tempoh 100 hingga 120 hari ini, apabila sampai pada saat dan ketika (PRN diadakan), kita akan berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi," katanya.
-- BERNAMA
#UMNO #politik #PRN #Reezal Merican Naina Merican #Barisan Nasional #Pakatan Harapan
;