UMNO berdepan jalan mati, perlu buat pilihan, tidak mampu bersendirian - Ahmad Jazlan
Astro Awani
Januari 7, 2021 15:10 MYT
Januari 7, 2021 15:10 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO kini melalui jalan mati dan terikat dengan permainan pihak tertentu, kata Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Sehubungan itu, Ahmad Jazlan menggesa UMNO membuat pilihan jalan yang perlu dilalui demi meletakkan kembali parti terbesar orang Melayu itu di atas.
“Mengapa harus kita mengikat diri kita yang akan membunuh diri sendiri atau kita akan dibunuh?
“Adakah dengan keadaan sekarang UMNO akan jadi lebih kuat? Jawabnya kita mesti buat pilihan jalan mana mesti dilalui demi meletakkan UMNO kembali di atas walaupun terpaksa mengambil sedikit masa kerana jalan yang kita lalui sekarang adalah jalan mati,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Machang itu berkata, UMNO perlu menetapkan hala tujunya selepas ditumbangkan oleh Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
Dalam masa sama, Ahmad Jazlan mengingatkan bahawa UMNO tidak mampu untuk bersendirian tanpa mana-mana gabungan.
“Mengapa UMNO perlu terlalu terikat? PRU lepas UMNO ditolak oleh gabungan mana? Bukankah oleh gabungan Bersatu yang bersama dengan DAP dan PKR?
“Kita telah terjebak dengan mainan kononnya rakyat akan tolak kita kalau bersama orang itu dan ini.
“Habis UMNO nak bersama siapa? Bersendirian kita tak mampu. Terus bersama Bersatu yang nak matikan kita? Adakah kita boleh jamin rakyat suka dengan kerajaan hari ini yang dipimpin oleh Bersatu?” soal Ahmad Jazlan lagi.
Beliau turut berkata, ketika parti itu mengambil keputusan untuk menyertai gabungan kerajaan, UMNO telah memberikan pelbagai alasan seperti tiada sumber kewangan untuk bergerak selepas kalah dalam PRU14.
“Sekarang kita ada duitkah untuk bergerak? Duit UMNO pun masih tak dilepaskan semuanya, sedangkan sudah jelas duit itu adalah duit parti yang tiada kaitan dengan 1MDB,” katanya.
Selain itu, Ahmad Jazlan berkata, UMNO juga tidak mendapat sebarang perubahan atau manfaat berbanding sebelum dan selepas menyertai kerajaan.
Antara kesukaran yang terpaksa ditempuh UMNO, tegas Ahmad Jazlan ialah, kesulitan mencari tempat untuk mesyuarat perwakilan sehingga ada yang perlu mengadakannya di bawah khemah dan tiada jabatan kerajaan yang memberikan mereka laluan untuk menganjurkan program.
Awal minggu ini, Ahmad Jazlan mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sehari selepas beliau menggesa Perikatan Nasional (PN) membubarkan parlimen pada bulan ini.