UMNO belum terima jemputan sertai Himpunan Mega RUU 355

Rahimah Abdullah
Januari 9, 2017 18:41 MYT
UMNO belum membuat apa-apa keputusan mengenai Himpunan Mega RUU 355, ujar Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa.
Pada masa sama jelasnya, parti itu setakat ini tidak menerima jemputan menyertai himpunan itu daripada Pas.
"Kita belum membuat apa-apa pendirian rasmi tetapi kita cuma dengar daripada laporan daripada akhbar, bahawa Pas akan anjur Himpunan RUU. Pagi tadi saya ada bincang dengan pemimpin kanan parti untuk semak (mengenai laporan) dan kita belum terima apa-apa jemputan," katanya dalam sidang media selepas Wacana Korporat: Gagasan Menjunjung Amanah Rakyat di sini hari ini.
BACA: MCA bantah Himpunan Mega RUU 355 anjuran PAS
BACA: RUU 355 bukan pintu belakang laksana hudud - TPM Zahid
Beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menyatakan pendirian parti mengenai himpunan yang dijangka diadakan pada 18 Febuari depan.
"(Perkara) Itu terpulang kepada presiden untuk membuat apa-apa keputusan. Setakat hari ini kita belum terima apa-apa jemputan rasmi dan tiada keputusan rasmi," kata beliau.
Bagaimanpun beliau berpendapat, himpunan itu adalah sesuatu yang perlu jika ia melibatkan usaha memberikan penjelasan yang lebih baik kepada masyarakat berhubung polemik yang diwujudkan mengenai RUU 355.
"Secara peribadi, saya berpendapat, apa jua perjumpaan, kalau ke arah memberikan penjelasan supaya masyarakat awam lebih memahami , ini adalah satu perkara yang nak dilakukan. Ini adalah kerana pindaan ini telah melibatkan banyak polemik tertentu dan menimbulkan keresahan sesetengah pihak," katanya lagi.
Justeru, Annuar berharap penjelasan itu akan dapat dilakukan Pas dengan sebaik mungkin sebelum persidangan parlimen Mac depan.
"Maka saya fikir adalah baik (penjelasan dibuat ) sebelum sidang parlimen Mac akan datang. Penjelasan-penjelasan diberikan kerana ini dibawa oleh Pas, maka Pas bertanggungjawab untuk membuat penjelasan. Saya fikir itu perkara yang baik," tambahnya.
Katanya, kesemua pimpinan dalam Barisan Nasional (BN) akan duduk secara bersama bagi menyelesaikan setiap perasaan tidak puas hati yang timbul terutama melibatkan parti komponen yang menentang RUU 355.
"Itu penentangan mengikut apa yang mereka faham dan ini kita perlu duduk secara Barisan Nasional. Sebagai Barisan Nasional kita akan selalu duduk berbincang, tidak harus buat keputusan berdasarkan emosi, dan penentangan sebelum ini kerana itu dibawa oleh pembangkang, sedangkan akan datang kita tidak tahu lagi bagaimana," jelasnya.
Tegas beliau lagi, BN sentiasa menekankan semangat persefahaman dalam parti dan setiap masalah berbangkit akan diselesaikan secara bersama sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Rang undang-undang ini akan diambil kerajaan kalau difikirkan baik . Undang-undang persendirian boleh ditukar oleh kerajaan, tetapi kalau nak lakukan itu, kita kena ada semangat persefahaman sesama kita," ujarnya.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 24 November lepas membawa usul Rang Undang-Undang Persendirian bernama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.
Beliau bagaimanapun memohon huraian mengenainya dibuat pada sesi persidangan dewan akan datang memandangkan cadangan pindaan itu memerlukan pemahaman yang jelas serta masih ada kekeliruan dan polemik mengenainya dalam kalangan pelbagai pihak.
#Annuar Musa #Liow Tiong Lai #MCA #PAS #RUU #undang-undang syariah
;