UMNO bahagian tetap bersidang biarpun Parlimen bubar

Sinar Harian
Oktober 9, 2022 06:30 MYT
Menurut Datuk Seri Ahmad Maslan, pelancaran jentera PRU15 juga perlu dibuat selepas UMNO bahagian selesai bersidang. - Foto fail
PONTIAN: Persidangan UMNO bahagian yang bermula Jumaat ini tetap diteruskan biarpun terdapat desas-desus Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, persidangan melibatkan 191 bahagian UMNO di seluruh negara itu akan memberi fokus kepada persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Apa juga yang akan berlaku pada minggu depan sama ada bubar atau tidak, saya tidak tahu, tetapi 191 bahagian UMNO hendaklah lakukan persidangan mereka.
"Sewaktu persidangan bahagian bermula 14,15 dan 16 Oktober ini, mereka perlu membuat usul persiapan pilihan raya," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Pontian di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi BN dan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Ketua Wanita UMNO Pontian yang juga ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.
Menurut Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, pelancaran jentera PRU15 juga perlu dibuat selepas UMNO bahagian selesai bersidang.
"Alang-alang ketua pemuda, puteri dan wanita bahagian berkumpul sewaktu Persidangan UMNO Bahagian, elok dilancarkan jentera PRU15.
"Bila tarikh PRU15 itu tidak menjadi hal, yang penting sudah dilancarkan jentera sebagai persiapan awal," katanya. -Sinar Harian
#Ahmad Maslan #PRU15 #Persidangan UMNO Bahagian #persiapan awal
;