UMNO: Azwan Bro tawar diri bertanding Ahli MT, Ketua Bahagian Pasir Salak
Bernama
Februari 28, 2023 20:20 MYT
Februari 28, 2023 20:20 MYT
IPOH: Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO sesi 2023-2026 pada pemilihan parti itu bulan depan.
Berbekalkan pengalaman sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO sesi 2013-2018, beliau yang dikenali dengan nama singkatan `Azwan Bro' berkata ingin terus menyumbang tenaga dan buah fikiran serta mengukuhkan semangat kebersamaan dengan pucuk pimpinan parti.
Selain itu, Khairul Azwan, 46, yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, mengesahkan akan bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak bersama pasukannya yang menggelarkan diri mereka pasukan 'Memperkasa Pasir Salak'.
Katanya, pasukan tersebut terdiri daripada anak tempatan yang berpengalaman dan berkelayakan iaitu Ramelle Ashram Ramli sebagai calon Timbalan Ketua Bahagian; Mohd Nazari Sabran (calon Naib Ketua); Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (calon Ketua Wanita); Mohd Yafiz Mohamad Mustapa (calon Ketua Pemuda), Nor Azuwa Sulaiman (calon Ketua Puteri); Suhaili Suib (calon Naib Ketua Wanita); Mohd Farid Mohd Hayati (calon Naib Ketua Pemuda) dan Saila Mohd Salehalon (calon Naib Ketua Puteri).
"Kami komited dan bertekad untuk memperkenalkan pembaharuan dan penambahbaikan terhadap corak kepimpinan serta pendekatan kami dalam mengurus parti dan khidmat bakti kami kepada masyarakat di Pasir Salak," katanya kepada Bernama hari ini.
Kerusi Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak kosong setelah penyandangnya yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digantung keahlian selama enam tahun. - BERNAMA