KANGAR: Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Arau membuat ketetapan untuk menolak pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis yang baharu menggantikan Datuk Seri Shahidan Kasim.

Keputusan tersebut dibuat sebulat suara oleh AJK Bahagian berkenaan termasuk dua lagi sayap parti iaitu Wanita UMNO dan Puteri UMNO Bahagian Arau.

Menurut Timbalan Ketua Bahagian UMNO Arau, Salim Dahaman, penolakan dibuat kerana ketidakupayan Azlan Man memimpin UMNO serta kekalahan kerusi yang dipertandingkan dalam UMNO Bahagian Kangar semasa pilihan raya umum (PRU) yang lepas.

"Selama beliau menjadi Menteri Besar, tiada usaha atau bantuan untuk memperkasakan UMNO Perlis.

BACA: Azlan ganti Shahidan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis - Zahid

BACA: Zahidi sewajarnya diberi peluang ketuai UMNO Perlis - Shahidan

“Pengalaman dan usaha kuat YB Datuk Seri Shahidan Kasim mendekati rakyat dan menjaga kebajikan rakyat Perlis menjadi taruhan kekuatan UMNO Perlis selama ini.

“Sehubungan dengan ini kami mendesak YB Presiden UMNO untuk mengembalikan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis kepada Datuk Seri Shahidan Kasim demi kekuatan UMNO Perlis," katanya pada sidang media khas di sini pada Ahad.

Turut hadir pada sidang media berkenaan EXCO Pendidikan Perlis, Roziana Ahmad bersama dua puluh (20) Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Arau.

Tambah Salim, kesemua AJK UMNO Bahagian Arau juga bersedia untuk keluar parti jika Shahidan berbuat demikian.