UMNO aktifkan 'war room' bantu calon Kerajaan Perpaduan - Ahmad
Bernama
April 24, 2024 04:04 MYT
April 24, 2024 04:04 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO mengaktifkan 'war room' bagi membantu dan menyokong calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata UMNO juga akan melaksanakan kempen bagi membantu calon berkenaan dengan bersungguh-sungguh.
"Saya sendiri telah menemui Ketua UMNO Bahagian, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian pada minggu lepas untuk mengaktifkan jentera UMNO. Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah bertemu dengan Ketua-Ketua UMNO Cawangan dalam mesyuarat berkelompok pada Ahad lepas.
"Dua malam lepas misalnya, kita telah bertemu dengan parti-parti Kerajaan Perpaduan. Sudah dua kali kita adakan (pertemuan) bererti UMNO menyokong calon Kerajaan Perpaduan, calon Pakatan Harapan pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu," katanya ketika ditemui di Wisma Bernama di sini pada Rabu.
Berhubung kenyataan Ketua Whip DAP Nga Kor Ming pada Isnin yang mengharapkan sokongan UMNO dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Ahmad berkata pihaknya sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana parti yang bertanding dalam pilihan raya di bawah gabungan Kerajaan Perpaduan.
"Kali ini giliran Pakatan Harapan sekali lagi untuk mengemukakan calon. Oleh itu sebagai satu pasukan dalam Kerajaan Perpaduan kita menolong atas nama Pakatan Malaysia MADANI. Kita sepasukan inginkan kestabilan politik maka UMNO akan bantu calon ini," katanya.
Ahmad berkata program seperti ceramah berkelompok dan mega perlu dilaksanakan bagi memberi penjelasan kepada akar umbi berkaitan isu-isu penting yang dimainkan pihak pembangkang termasuk isu 3R (kaum, agama dan raja).
"Saya lihat antara isu-isu yang akan ditimbulkan tentunya tentang kalimah Allah, afidavit addendum, itu saya kira antara isu-isu panas, termasuk juga dengan isu harga barang. Jangan dibiarkan isu itu tanpa jawapan.
"Kita akan atur perkara ini untuk buat penjelasan bukan hanya secara face-to-face tetapi juga melalui media sosial berhubung dengan apa jua isu yang mereka (pembangkang) timbul, kita akan jawab," katanya.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti 4,119 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini (27 April) sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian pada 11 Mei.
-- BERNAMA