UMNO akan terus bertanding di Parlimen Kuala Kangsar - Zahid
Abd Razak Mohd Ali
Julai 8, 2024 15:55 MYT
Julai 8, 2024 15:55 MYT
KUALA KANGSAR: Kerusi Parlimen Kuala Kangsar akan terus kekal ditandingi UMNO jika berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) mahupun Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memberi jaminan itu menegaskan, seperti pilihan raya sebelum ini, UMNO akan mempertahankan kerusi berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, ahli dan pemimpin UMNO di Kuala Kangsar tidak perlu risau mengenainya.
“Kalau ada PRK pun memang saya hendak bagi UMNO bertanding. Bekerjasamalah yang ada di atas pentas dan di bawah pentas.
"Saya tahu, saya ingatkan diri saya jangan ingat kita boleh duduk atas pentas ini kalau tidak ada sokongan daripada yang bawah.
“Yang atas kena menyantuni yang di bawah, yang bawah kena menghormati yang di atas. Kukuhkan parti sekarang ini, jangan berbeza pendapat," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2024 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Azian Osman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman.
Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa calon yang bertanding di Parlimen Kuala Kangsar serta Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU akan datang diberi keutamaan kepada anak tempatan.
Menurutnya, calon-calon yang akan dipilih mesti memastikan kawasan yang tewas pada PRU sebelumnya kembali dirampas.
"Di Kuala Kangsar ini dahulu Ahli-ahli Parlimennya orang luar Kuala Kangsar seperti Rafidah Aziz dan saya tak nak sebut siapa-siapa selepas itu. Kalau kali ini anak Kuala Kangsar, orang UMNO tak menang juga aku humban kamu (berseloroh).
"Oleh itu janji dengan saya kalau saya letak orang UMNO, calon itu wajib menang dalam Pilihan Raya Parlimen dan DUN," ujarnya.
Beliau turut meminta semua pemimpin dan ahli bersatu serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan mengenai pembahagian kerusi bersama Pakatan Harapan (PH) pada PRU16 akan dibawa ke mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional bagi mengelak sebarang pertindihan.
Katanya, menjadi amalan parti-parti politik akan membuat persiapan lebih awal termasuk menentukan kerusi yang bakal ditandingi nanti supaya tidak berlaku pertembungan di antara parti-parti Kerajaan Perpaduan.
Pada Ahad, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari berkata, parti itu menyatakan hasrat untuk meletakkan calon jika berlaku PRK Parlimen Kuala Kangsar dalam masa terdekat.
Menurutnya, ini kerana berdasarkan rekod lalu, parti tersebut bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan hasrat itu ingin diteruskan.
Pada PRU15, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menang di Parlimen Kuala Kangsar dengan 14,380 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Maslin Sham yang memperoleh 10,814 undi diikuti calon PH, Dr Ahmad Termizi Ramli (10,356 undi) dan calon Parti Pejuang Tanah Air, Dr Yusmalia Mohamad Yusof (204 undi).